Khairy tegur kurang kerjasama negara ASEAN untuk mudahkan perolehan vaksin
Madiha Abdullah
April 7, 2021 23:55 MYT
April 7, 2021 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menegur kekurangan kerjasama antara negara ASEAN dalam aspek mendapatkan akses COVID-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jika kerjasama sedemikian wujud, ia berkemungkinan mempercepatkan perolehan vaksin dalam kalangan anggota.
"Terdapat kekurangan solidariti dan kooridnasi dalam kalangan negara ASEAN.
"Saya sudah berada di sini, bekerja untuk menguruskan hal vaksin tetapi saya tidak ingat ada sebarang cadangan untuk berbincang bersama dan mendapatkan vaksin secara bersama sebagai satu blok.
"Jika ada, mungkin proses (dapatkan vaksin) itu boleh dipercepatkan atau dipermudahkan, dan kita boleh dapat jumlah yang banyak, tetapi tidak ada usaha koordinasi ke arah itu," katanya dalam ASEAN Healthcare Webinar 2021 bertajuk COVID-19 Vaccine Roll-out And The Recovery Of The ASEAN Economy, hari ini.
Khairy juga sekali lagi menegaskan bahawa Program Imunisasi COVID-19 kebangsaan yang bermula sejak Februari lalu bukan sekadar program vaksinasi biasa yang hanya memberi fokus kepada aspek kesihatan.
Sebaliknya ia merupakan salah satu usaha penting kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik itu.
"Program imunisasi yang berjaya akan membawa kepada pembukaan ekonomi dan akan memulihkan ekonomi.
"Kita lihat di negara lain, Israel sebagai contoh, sudah memvaksin hampir 90 peratus populasi warga emas lebih 50 tahun, ramai yang sudah diberi vaksin dan sembuh dari COVID-19.
"Mereka boleh membuka kembali ekonomi dua bulan selepas mereka memulakan program vaksinasi besar-besaran.
"Dapat dilihat kes mereka berkurangan dengan banyak, dan dalam kes Israel ini mereka diramal mengalami pemulihan ekonomi yang baik selepas tamat program imunisasi.
"Jadi inilah contoh terbaik di mana vaksin membantu prospek ekonomi sesebuah negara," ujarnya.
#COVID-19
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Khairy Jamaluddin
#ASEAN
#Israel
#ekonomi
#kerajaan
#kesihatan
#program vaksinasi
#vaksin