Khabar angin menyatakan Lee Kuan Yew meninggal dunia, tidak benar
Bernama
Februari 25, 2015 23:12 MYT
Februari 25, 2015 23:12 MYT
Khabar angin tersebar yang menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew telah meninggal dunia adalah tidak benar, menurut Menteri Tenaga Manusia Tan Chuan-Jin di laman Facebooknya, hari ini.
"Khabar angin tersebar dengan meluas. Ramai dalam kalangan anda menghantar mesej bertanyakan mengenai keadaan Encik Lee Kuan Yew. Terus berdoa untuk beliau kembali pulih," katanya.
Saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia sebelum ini melaporkan bahawa stesen televisyen berkenaan telah mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa khabar angin itu adalah tidak benar.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, pejabat Perdana Menteri Pejabat (PMO) berkata Lee telah dimasukkan ke Hospital Besar Singapura pada 5 Feb lepas kerana menghidap radang paru-paru yang teruk.
Menurut kenyataan itu, keadaan beliau telah kembali stabil namun masih berada dalam ventilasi mekanikal di Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau sedar dan diberikan sedatif ringan.
Lee, 91, merupakan Perdana Menteri pertama Singapura (1959-1990) dan dianggap perdana menteri yang paling lama berkhidmat di dunia.