"Khabar angin itu benar" - Hasbulla sahkan bakal bertarung dalam UFC
Agensi
Oktober 15, 2022 09:00 MYT
Oktober 15, 2022 09:00 MYT
SENSASI media sosial, Hasbulla Magomedov mendedahkan pertarungan rasmi pertamanya dalam Ultimate Fighting Championship (UFC) akan menjadi kenyataan.
Hasbulla, 20, yang berketinggian 3 kaki 4 inci, menandatangani kontrak lima tahun dengan sebuah syarikat pada September lalu ketika pertelingkahan di media sosial dengan bintang UFC Ireland, Conor McGregor, menjadi perbualan ramai.
Hasbulla, dari Dagestan, Russia, mengucapkan terima kasih kepada Presiden UFC, Dana White dan rakannya, bekas juara lightweight, Khabib Nurmagomedov, kerana menjadikan impiannya kenyataan.
"Khabar angin itu benar. Saya secara rasmi menandatangani perjanjian untuk bertarung di UFC! Butiran akan didedahkan menjelang akhir tahun ini," katanya di Instagram.
Dia yang digelar 'Mini Khabib' mempunyai 2.1 juta pengikut di Instagram dan 4.3 bilion di TikTok.
UFC ketika ini tidak mempunyai kelas berat 40 paun, justeru ramai yang mempersoalkan bentuk pertarungan yang dimaksudkan Hasbulla.
Hasbulla menjadi popular pada tahun 2020 semasa pandemik selepas hantarannya di TikTok menjadi tular dan menjadi meme.
Walaupun tidak pernah bergabung secara rasmi, Hasbulla sering dikaitkan dengan komuniti seni bela diri campuran (MMA) khususnya UFC, selepas video dia melakonkan semula aksi Khabib tular.