Kevin McCarthy akhirnya dipilih sebagai Speaker Dewan Perwakilan AS

Bernama
Januari 7, 2023 15:15 MYT
Kevin McCarthy berjaya memperoleh undi yang cukup untuk menjadi Speaker Dewan dalam pemilihan yang dikatakan paling lama dalam tempoh 164 tahun. - Gambar/ Bernama
WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) akhirnya memilih Kevin McCarthy sebagai Speaker Dewan selepas pengundian memasuki pusingan ke-15.
Ahli Parlimen Republikan itu berjaya memperoleh undi yang cukup untuk menjadi Speaker Dewan dalam pemilihan yang dikatakan paling lama dalam tempoh 164 tahun, lapor Xinhua.
Situasi kali ini juga menyaksikan buat kali pertama seorang Speaker Dewan tidak dipilih pada undian pertama dalam tempoh 100 tahun.
Pada awal minggu ini Presiden Joe Biden dari Demokrat dilaporkan berkata "amat memalukan negara" tidak mempunyai Kongres yang berfungsi sepenuhnya.
-- BERNAMA
#Speaker Dewan Perwakilan #Amerika Syarikat #Kevin McCarthy #Joe Biden