Ketua UNHCR seru pendekatan baharu krisis Rohingya

Bernama
September 27, 2024 18:41 MYT
Filippo Grandi berkata pelantikan Profesor Yunus sebagai pemimpin baharu Bangladesh telah meningkatkan minat global dalam krisis Rohingya. - X @BDMOFA
NEW YORK: Pesuruhjaya Tinggi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Filippo Grandi menggesa pendekatan baharu terhadap krisis Rohingya, dengan mengatakan bahawa masyarakat antarabangsa harus melakukan lebih banyak untuk menamatkan kesengsaraan lebih satu juta Rohingya di kem di Bangladesh.
United News of Bangladesh (UNB) melaporkan bahawa beliau membincangkan krisis Rohingya dengan Ketua Penasihat Prof Muhammad Yunus di sebuah hotel di New York pada Khamis.
Grandi berkata mereka membincangkan isu pelarian Rohingya yang belum diselesaikan di tengah-tengah banyak cabaran yang ditimbulkan oleh peralihan kompleks di Bangladesh.
"Saya memberi jaminan kepada Dr Muhammad Yunus tentang komitmen penuh UNHCR, juga untuk menggerakkan sokongan antarabangsa," katanya.
Grandi berkata pelantikan Profesor Yunus sebagai pemimpin baharu Bangladesh telah meningkatkan minat global dalam krisis Rohingya, dan beliau berharap akan ada lebih banyak dana untuk tindak balas kemanusiaan.
"US$700 juta daripada Bank Dunia adalah permulaan yang baik," katanya, sambil menambah PBB bersedia untuk menyokong lebih banyak untuk pendidikan kanak-kanak Rohingya.
Profesor Yunus menekankan keperluan untuk mencari penyelesaian cepat kepada krisis dan melakukan lebih banyak lagi untuk masa depan ratusan ribu kanak-kanak Rohingya yang membesar di kem pelarian di Bangladesh.
"Kita perlu menyelesaikan perkara ini sebelum terlambat. Kita perlu mencari penyelesaian," kata Ketua Penasihat itu.
Gilbert Houngbo, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa, juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Penasihat di sebuah hotel pada Khamis.
Houngbo menawarkan sokongan agensi buruh PBB untuk langkah Kerajaan Sementara melaksanakan konvensyen ILO di Bangladesh.
"Kami sedia membantu anda," katanya, sambil menambah ILO akan menjawab seruannya "jika dan bila" beliau memerlukannya.
Ketua Penasihat itu berkata pembaharuan buruh adalah keutamaan kerajaannya, kerana ia melihat isu itu sebagai kunci untuk menjadikan Bangladesh sebagai hab pembuatan bertaraf dunia.
"Kami sangat serius tentang perkara ini," kata Profesor Yunus, sambil menambah bahawa menangani isu buruh akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing di Bangladesh.
-- BERNAMA
#UNHCR #Filippo Grandi #Bangladesh #Rohingya #Muhammad Yunus
;