Ketua Turus Angkatan Tentera keluarkan dekri larang aktiviti politik di Korea Selatan
Bernama
Disember 3, 2024 05:00 MYT
Disember 3, 2024 05:00 MYT
SEOUL: Satu pemerintahan tentera yang ditubuhkan susulan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Yoon Suk Yeol pada Selasa malam mengumumkan sebuah dekri yang melarang semua aktiviti politik, termasuk demonstrasi dan aktiviti oleh parti politik.
Dekri yang dikeluarkan oleh Ketua Turus Angkatan Tentera, Jeneral Park An-su, seorang jeneral empat bintang yang dilantik mengetuai pemerintahan itu, berkuat kuasa mulai pukul 11 malam (waktu tempatan) pada Selasa, lapor agensi berita Yonhap.
"Semua aktiviti politik, termasuk yang berkaitan dengan Parlimen, dewan undangan wilayah, parti politik, pembentukan organisasi politik, perhimpunan dan demonstrasi adalah dilarang," kata Park.
Park berkata, dekri itu diumumkan di seluruh negara bagi mempertahankan demokrasi bebas dan keselamatan rakyat daripada ancaman kumpulan anti-negara yang berusaha menggulingkan kerajaan.
Dekri itu juga mengarahkan semua media dan penerbit untuk dikawal, selain mengarahkan doktor pelatih yang telah melakukan mogok untuk segera kembali bekerja dalam tempoh 48 jam.
"Tindakan menafikan demokrasi bebas atau cuba melakukan subversi adalah dilarang; berita palsu, memanipulasi pendapat umum dan hasutan palsu adalah dilarang," kata Park.
Mereka yang melanggar undang-undang tentera boleh ditangkap atau diserbu tanpa waran, menurut dekri itu.
Dengan pengisytiharan undang-undang tentera, komander bertanggungjawab terhadap urusan pentadbiran dan undang-undang di kawasan yang terjejas dan boleh mengambil langkah khas dalam bidang seperti penahanan, rampasan, media dan tindakan kolektif apabila perlu.
Mengikut undang-undang, komander diselia oleh Menteri Pertahanan, namun, beliau di bawah penyeliaan Presiden apabila undang-undang tentera dikuatkuasakan di seluruh negara atau apabila diperlukan.
Yoon, semasa mengisytiharkan undang-undang tentera menerusi siaran televisyen pada Selasa malam, mendakwa, pembangkang melakukan "aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan."
"Undang-undang tentera ini bertujuan untuk membanteras kumpulan pro-Korea Utara dan melindungi kestabilan Perlembagaan berteraskan kebebasan," katanya.
Langkah ini diambil selepas pembangkang, Parti Demokratik (DP) meluluskan rang undang-undang pengecilan belanjawan dalam Jawatankuasa Belanjawan Parlimen, selain mengemukakan usul pendakwaan terhadap seorang juruaudit negara dan ketua pendakwa raya.
Yonhap melaporkan, akses ke Parlimen telah disekat oleh pengawal Parlimen dan polis selepas pengisytiharan itu.
Sehingga pukul 11.30 malam (waktu tempatan), pengawal dan pegawai polis ditempatkan di pintu masuk Parlimen dan hanya membenarkan kemasukan kepada Ahli Parlimen, kakitangan Parlimen dan wartawan berdaftar selepas pemeriksaan IC.
Sekumpulan rakyat dilaporkan berkumpul di hadapan Parlimen selepas pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon, menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka dan polis, lapor Yonhap.
Menurut Yonhap, Naver, portal Internet terkemuka negara, mengalami gangguan perkhidmatan pada Selasa selepas pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon yang tidak dijangka.
Naver Cafe, platform komuniti dalam talian syarikat itu, mengalami gangguan hubungan sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan) selepas pengumuman Yoon yang dibuat sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan).
"Kami sedang menyiasat sama ada ini disebabkan oleh lonjakan mendadak dalam trafik," kata Naver.
Isu serupa juga dilaporkan berlaku dalam perkhidmatan Daum, portal sesawang kedua terbesar negara. Syarikat itu mengeluarkan notis penyelenggaraan kecemasan di bahagian komen perkhidmatan berita mereka. - BERNAMA