Ketua tentera Sudan keluar dekri bubar Rapid Support Forces

Bernama
September 7, 2023 12:09 MYT
Al-Burhan yang mempengerusikan Majlis Kedaulatan, mengarahkan kepimpinan angkatan tentera dan pihak berkuasa berkenaan melaksanakan dekri perlembagaan untuk membubarkan RSF. - Gambar fail/REUTERS
ANKARA: Ketua tentera Sudan Abdel Fattah al-Burhan mengeluarkan dekri membubarkan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) pada Rabu.
Al-Burhan yang mempengerusikan Majlis Kedaulatan, mengarahkan kepimpinan angkatan tentera dan pihak berkuasa berkenaan melaksanakan dekri perlembagaan untuk membubarkan RSF, menurut Agensi Anadolu.
"Keputusan itu dibuat susulan pemberontakan pasukan berkenaan ke atas negara dan pelanggaran berat yang mereka lakukan terhadap rakyat, serta sabotaj yang disengajakan terhadap infrastruktur negara," menurut kenyataan Majlis Kedaulatan.
Terdahulu, Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas pemimpin kanan dan komander RSF Abdelrahim Hamdan Dagalo.
Sejak permulaan perang antara RSF dan angkatan bersenjata Sudan pada 15 April, beribu-ribu rakyat terbunuh dan lebih 4 juta lagi hilang tempat tinggal, terutama di Khartoum dan Darfur.
-- BERNAMA
#Ketua tentera Sudan #Abdel Fattah al-Burhan #bubar tentera #Rapid Support Forces
;