Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Georgia disimbah cat hitam
Agensi
November 17, 2024 21:50 MYT
November 17, 2024 21:50 MYT
TBILISI: Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Georgia menerima kejutan apabila disimbah cat hitam pada Sabtu ketika beliau bersedia untuk mengesahkan keputusan akhir pemilihan Parlimen yang berlangsung bulan lalu.
Giorgi Kalandarishvili kelihatan tergamam dan marah selepas diserang oleh seorang pegawai parti pembangkang, David Kirtadze pada mesyuarat badan pilihan raya Georgia di Tbilisi.
Kirtadze, ahli parti pembangkang UNM pimpinan bekas Presiden Mikheil Saakashvili, menyimbah cat ke muka Kalandarishvili ketika dia dan wakil semua parti yang bertanding dalam undian 26 Oktober lalu, bertemu untuk mendengar keputusan akhir pemilihan yang menjadi pertikaian.
Menurut laporan, Kirtadze cuba bercakap pada permulaan mesyuarat tetapi diminta menunggu dan mengikuti protokol. Dia kemudiannya mencuba buat kali kedua, memaksa pegawai lain mematikan mikrofonnya.
Rakaman video yang dirakam oleh dua saluran TV Georgia menunjukkan Kirtadze berjalan ke arah Kalandrisvili, yang sedang duduk, sebelum menyimbah secawan cat ke mukanya.
Pembangkang Georgia enggan menerima keputusan pemilihan berkenaan dan mendakwa berlaku penipuan dan penyelewengan dalam proses pengundian.
Keputusan rasmi daripada pemilihan itu memberikan majoriti 54 peratus kepada Georgian Dream, yang didakwa mahu mengemudi negara itu jauh dari Eropah dan kembali kepada Rusia.
Georgian Dream berkata, ia mahu melindungi negara daripada pengaruh asing yang subversif dan daripada diheret berperang dengan Rusia seperti Ukraine.
Ia mengatakan tetap komited untuk mencari masa depan dalam Kesatuan Eropah (EU), namun EU mengatakan pihak mereka telah membekukan permohonan keahlian Georgia kerana kebimbangan mengenai kemunduran demokrasi.