Ketua Suruhanjaya EU sambut baik jumlah keluar mengundi di Turkiye

Bernama
Mei 15, 2023 21:33 MYT
Ursula von der Leyen turut memuji rakyat Turkiye kerana keluar mengundi dan menunjukkan bahawa mereka "menghargai institusi demokrasi." - Gambar fail/AP
BRUSSELS: Ketua Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen pada Isnin menyambut baik peratusan tinggi yang keluar mengundi dalam pilihan raya umum dan presiden Turkiye.
"Jumlah besar yang keluar mengundi dalam pilihan raya itu merupakan berita yang sangat baik," kata von der Leyen pada sidang akhbar, lapor Agensi Anadolu.
Beliau turut memuji rakyat Turkiye kerana keluar mengundi dan menunjukkan bahawa mereka "menghargai institusi demokrasi."
Ia juga jelas membuktikan rakyat Turkiye komited untuk melaksanakan hak demokrasi mereka, katanya.
Berjuta-juta pengundi keluar mengundi pada Ahad untuk memilih presiden negara itu dan 600 Ahli Parlimen.
Setakat 9.45 pagi waktu tempatan (0645GMT), Presiden Recep Tayyip Erdogan memperoleh 49.4 peratus undi manakala pencabarnya Kemal Kilicdaroglu yang mewakili parti pembangkang mendapat 44.96 peratus.
Proses pengiraan kertas undi masih berjalan.
-- BERNAMA
#Kesatuan Eropah #pembangkang #Turkiye #pilihan raya umum
;