Ketua sindiket dadah terbesar Colombia ditahan
Agensi
Oktober 24, 2021 10:42 MYT
Oktober 24, 2021 10:42 MYT
ANTIOQUIA : Ketua sindiket pengedaran dadah terbesar Colombia ditahan dalam satu serbuan pada Sabtu selepas lebih 10 tahun berjaya meloloskan diri dari pihak berkuasa.
Dairo Antonio Usuga ditahan dalam serbuan yang dilakukan lebih 500 anggota tentera dan unit khas negara itu di tempat persembunyiannya di dalam hutan yang dilindungi lapan lapisan keselamatan.
Presiden Ivan Duque menyifatkan tangkapan itu mirip pada peristiwa penangkapan Pablo Escobar 30 tahun lalu.
Usaga, atau lebih dikenali sebagai Otoniel, didakwa menjadi dalang di sebalik kumpulan penjenayah Gulf Clan.
Dia dikatakan menjadi ketua sindiket pengedaran dadah jenis kokain terbesar ke Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat telah lama memburu Usaga serta menawarkan ganjaran lumayan AS$5 juta kepada sesiapa yang berjaya membawa kepada penahanannya.
Usaga pertama kali didakwa di Mahkamah Persekutuan Manhattan pada 2009 atas tuduhan pengedaran dadah dan membantu kumpulan pengganas.
Dia kemudian turut didakwa atas tuduhan menyeludup 73 tan metrik kokain ke Amerika Syarikat antara tahun 2003 dan 2014 melalui beberapa negara termasuk Venezuela, Guatemala, Mexico, Panama dan Honduras.
Penangkapannya pada Sabtu dibantu pasukan perisik Amerika Syarikat serta United Kingdom.