Ketua Roscosmos diganti lepas berbalah dengan Elon Musk

Sinar Harian
Julai 16, 2022 07:45 MYT
Dmitry Rogozin memegang jawatan Ketua Agensi Angkasa Rusia sejak tahun 2018. - Foto AP
MOSCOW: Ketua Agensi Angkasa Rusia (Roscosmos), Dmitry Rogozin yang terkenal kerana sering berbalah dalam talian dengan Pengasas SpaceX, Elon Musk telah disingkirkan daripada tugasnya baru-baru ini.
Berikutan itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin melantik bekas Timbalan Perdana Menteri, Yuri Borisov menggantikan Rogozin sebagai Ketua Roscosmos.
Bagaimanapun, kerajaan Moscow tidak memberikan alasan tentang keputusannya untuk menggantikan Rogozin.
Beliau memegang jawatan itu sejak tahun 2018.
Pertelingkahan awam antara Rogozin dan Musk telah meningkat sejak Rusia menceroboh Ukraine pada akhir Februari lalu.
Rogozin mencetuskan kebimbangan pada awal tahun ini selepas dia mencadangkan bahawa Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dijatuhkan dari langit.
Musk membalas ciapan Rogozin dengan imej logo SpaceX dan kemudian mengesahkan bahawa firma angkasa lepas persendiriannya itu bersedia untuk membantu operasi di ISS.
Namun, Rogozin mengritik Musk kerana membantu Ukraine dengan menyediakan terminal internet satelit Starlink semasa tentera Rusia melakukan pencerobohan tersebut.
Musk kemudian menjawab bahawa SpaceX hanya memberikan bantuannya selepas warga Ukraine mula mengalami gangguan perkhidmatan internet. - Sinar Harian memetik Agensi
#Dmitry Rogozin #Elon Musk #SpaceX #Yuri Borisov
;