Ketua Pihak Berkuasa ibu kota baharu Indonesia letak jawatan, cetus tanda tanya

Astro Awani
Jun 4, 2024 00:47 MYT
Perkembangan projek pembangunan ibu kota negara (IKN) baharu Indonesia menerima tamparan baharu apabila Ketua Pihak Berkuasa IKN Nusantara, Bambang Susantono mengambil keputusan untuk mengundur diri dari jawatannya. - Gambar fail/milkeninstitute
PERKEMBANGAN projek pembangunan ibu kota negara (IKN) baharu Indonesia menerima tamparan baharu apabila Ketua Pihak Berkuasa IKN Nusantara, Bambang Susantono mengambil keputusan untuk mengundur diri dari jawatannya.
Pengumuman pengunduran itu dilakukan hampir serentak dengan Timbalannya, Dhony Rahajoe, ketika ibu kota baharu itu sedang disasarkan untuk menjadi venue sambutan hari ulang tahun kemerdekaan republik berkenaan, pada 17 Ogos nanti.
Pengumuman tersebut telah disampaikan oleh Menteri Sekretariat Negara, Pratikno, di Pejabat Presiden, Kompleks Istana Kepresidenan, Jakarta, pada Isnin lalu.
“Beberapa waktu lalu Pak Presiden (Jokowi) menerima surat pengunduran diri dari Pak Dhony Rahajoe. Kemudian beberapa waktu berikutnya Pak Presiden juga menerima surat pengunduran diri dari Pak Bambang Susantono,” lapor Kompas.com yang memetik Pratikno.
Bagaimanapun, alasan di sebalik keputusan meletak jawatan itu masih kurang jelas, sekali gus mencetuskan pelbagai tanda tanya yang kini hangat diperdebat di media Indonesia.
Media tempatan melaporkan, pengunduran diri Bambang dan Dhony dari jawatan mereka dikaitkan dengan sasaran pembangunan yang tidak realistik, selain kebimbangan tentang anggaran belanja pembangunan yang masih bergantung kepada dana negara iaitu Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN), serta kekurangan pelaburan dari pelabur asing.
Idea pemindahan ibu negara dan pembangunan IKN diumumkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada 29 April 2019 yang antara lain bertujuan untuk agenda pemerataan ekonomi, mencipta mercutanda kota pentadbiran baharu menuju wawasan Indonesia Emas 2045, serta sebagai langkah mengatasi palbagai masalah urban yang dihadapi oleh bandar raya Jakarta.
Sepanjang kerja pembangunan dijalankan, projek mega IKN berdepan dengan pelbagai cabaran, antaranya soal pembebasan hak milik tanah, pengagihan penggunaan dana, sasaran jadual pembangunan, dan perkara teknikal berhubung undang-undang lain.
Sehingga kini Jokowi tidak mengulas secara langsung tentang perkara pengunduran Bambang dan Dhony, namun di akaun Instagramnya terdapat hantaran yang mengatakan bahawa projek IKN akan tetap dilanjutkan.
#Ketua Pihak Berkuasa IKN Nusantara #Bambang Susantono #Indonesia #letak jawatan
;