Ketua penyiasat, 'pembunuh' rejim Khmer Rouge meninggal dunia

Astro Awani
September 2, 2020 11:30 MYT
Kaing Guek Eav yang lebih dikenali sebagai Duch meninggal dunia pada usia 77 tahun. - Gambar AP
BEKAS ketua penyiasat dan orang yang bertanggungjawab melakukan penyeksaan semasa rejim Khmer Rouge berkuasa di Kemboja meninggal dunia pada Rabu di Hospital Phnom Penh.
Kaing Guek Eav yang lebih dikenali sebagai Duch meninggal dunia pada usia 77 tahun, lapor AFP.
Duch pernah bertugas sebagai ketua penjara Tuol Sleng dan kemudian disabitkan bersalah atas jenayah kemanusiaan oleh pengadilan jenayah perang yang disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana peranannya dalam rejim itu.
Jurucakap, Neth Pheaktra berkata, Duch yang dimasukkan ke hospital sejak Isnin lepas meninggal dunia tengah malam Rabu.
Lelaki tersebut masuk dan keluar hospital selama bertahun-tahun kerana mengalami masalah paru-paru yang serius, kata sumber.
Lahir pada 1942, bekas guru matematik itu menjadi penyiksa utama rejim Khmer Rouge ketika mereka berkuasa dari tahun 1975 hingga 1979.
Duch adalah anggota pertama Khmer Rouge yang berdepan penghakiman di hadapan pengadilan jenayah perang di Kemboja.
Dia kemudiannya dimasukkan ke penjara di Kandal.
Semasa pemerintahan rejim tersebut, kebanyakan kakitangan di penjara dikawal Duch adalah remaja lelaki tidak berpendidikan kerana menurut Duch, mereka mudah didoktrin kerana mereka ‘seperti sehelai kertas kosong’.
“Saya dengan hormat dan tegas mengikut perintah itu,” kata Duch dalam kenyataan kepada mahkamah, mengakui bahawa dia hanya menurut perintah ketika melakukan semua pembunuhan itu.
Rejim tersebut difahamkan telah membunuh ribuan rakyat Kemboja ketika mereka berkuasa selama tempoh lima tahun itu.
#guru #Hospital #jenayah #lelaki #mahkamah #meninggal dunia #PBB #penjara #rakyat #remaja
;