Ketua Pembangkang guna perkataan kesat dalam Parlimen Britain

Astro Awani
Disember 20, 2018 08:06 MYT
Jeremy Corbyn (kanan) bercakap pada sesi soal jawab dengan Perdana Menteri semasa sidang Parlimen Britain di London, 19 Dis, 2018. (House of Commons/PA melalui AP)
Debat mengenai Brexit di Parlimen Britain menjadi semakin panas apabila terbaru, Pemimpin Pembangkang Jeremy Corbyn didakwa mengeluarkan perkataan kurang sopan terhadap Perdana Menteri Theresa May pada Rabu.
Sambil membebel sendirian selepas bertikam lidah dengan May, Corbyn dilihat menyebut perkataan 'stupid woman' (perempuan bodoh) dan aksinya itu dirakam kamera televisyen ketika sesi soal jawab mingguan antara pemimpin Britain itu.
Corbyn telah mengajukan beberapa persoalan mengenai keputusan May minggu lepas untuk menangguhkan undi Parlimen berhubung perjanjian keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit.
Dalam responnya, May mencadangkan Corbyn mungkin tidak mendapat sokongan para penggubal undang-undang dari partinya sendiri, Labour, memetik frasa yang sering digunakan dalam pantomim Krismas, "Saya nasihatkan Yang Berhormat, sila lihat di belakang anda, mereka tidak menyukainya dan begitu juga negara!"
Corbyn kemudian menggelengkan kepalanya dan kelihatan seakan-akan berkata "stupid woman."
Gara-gara perkataan kurang sopan itu, Corbyn didesak mengemukakan permohonan maaf.
Tindakan Corbyn itu turut mencetus kemarahan dalam kalangan Ahli Parlimen Konservatif.
#bertikam lidah #bodoh #Brexit #British #EU #Jeremy Corbyn #Kesatuan Eropah #Parlimen #pembangkang #Theresa May
;