Ketua PBB tekan butang panik, buat pertama kali rujuk situasi Gaza pada Artikel 99

Agensi
Disember 6, 2023 07:00 MYT
Seorang lelaki Palestin tidak dapat menyembunyikan kesedihannya seraya merangkul jenazah anak saudaranya yang meninggal dunia akibat serangan udara yang dilancarkan Israel pada 22 November lalu. - Gambar REUTERS
NEW YORK: Keresahan dan kebimbangan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres terhadap situasi yang berlaku di Gaza, Palestin ketika ini nampaknya sudah tidak disembunyikan beliau lagi.
Justeru, buat pertama kali dalam pentadbirannya, Guterres telah merujuk situasi di Gaza kepada Majlis Keselamatan PBB dengan mengguna pakai Artikel 99 Piagam PBB dengan menyeru seluruh ahli majlis berkenaan agar mencari jalan “mengelakkan bencana kemanusiaan” di wilayah yang sedang dijarah oleh zionis Israel.
Guterres mengirim surat kepada Presiden Majlis Keselamatan, José De La Gasca, pada hari Rabu, dengan mengguna pakai Artikel 99 dalam Piagam PBB, kata jurucakapnya, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
"Ini adalah kali pertama António Guterres melakukan tindakan ini sejak beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung pada tahun 2017," kata Dujarric dalam kenyataan itu.
Artikel 99 memberikan kuasa kepada Setiausaha Agung untuk "mengemukakan perhatian kepada Majlis Keselamatan mengenai apa-apa perkara yang menurut pendapatnya boleh mengancam kelestarian keamanan antarabangsa."
Dalam suratnya, Guterres menyatakan konflik tersebut telah mencipta "penderitaan manusia yang mengerikan, kemusnahan fizikal,dan trauma kolektif di seluruh Israel dan wilayah Palestin yang diduduki."
Bakan, dengan tegas Ketua PBB itu memberi penekanan berhubung penderitaan penduduk Gaza yang digambarkan beliau menghadapi "bahaya serius" setiap hari.
"Tidak ada perlindungan yang efektif untuk orang awam... tiada tempat yang selamat di Gaza," kata Guterres.
"Dalam situasi ini, dengan serangan berterusan oleh Angkatan Pertahanan Israel, tanpa perlindungan atau keperluan asas untuk bertahan hidup, saya menjangkakan ketertiban awam akan terganggu tidak lama lagi, menjadikan bantuan kemanusiaan yang terhad juga tidak mungkin dapat dihulurkan," katanya sambil memberi amaran situasi boleh menjadi lebih teruk jika penyebaran penyakit mencapai tahap wabak dan penghijrahan besar-besaran pula mencetus "tekanan" ke atas negara-negara jiran.
Pada perenggan terakhir suratnya, Guterres menyeru ahli-ahli Majlis Keselamatan untuk "mendorong mengelakkan berlaku bencana kemanusiaan" selain menyokong seruannya agar gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan di Gaza. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #Ketua PBB tekan butang panik #Majlis Keselamatan PBB #Antonio Guterres
;