Ketua PBB sambut baik perjanjian kemanusiaan antara pihak bertelagah di Sudan

Bernama
Mei 13, 2023 10:45 MYT
Antonio Guterres, menyambut baik perjanjian antara pihak yang bertelagah di Sudan yang membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan secara selamat. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyambut baik perjanjian antara pihak yang bertelagah di Sudan yang membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan secara selamat.
"Walaupun dalam keadaan sukar pekerja kemanusiaan, terutamanya rakan kongsi tempatan tetap memberikan bantuan, Setiausaha Agung berharap deklarasi itu akan dapat memastikan operasi bantuan dapat ditingkatkan dengan pantas dan selamat untuk memenuhi keperluan berjuta-juta orang di Sudan.
"Beliau mengulangi gesaan untuk gencatan senjata secepat mungkin dan meningkatkan perbincangan untuk menamatkan permusuhan secara berkekalan," kata jurucakap Setiausaha Agung, Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.
Selepas seminggu rundingan diadakan di Jeddah, Arab Saudi, Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menandatangani "Deklarasi Komitmen untuk Melindungi Rakyat Sudan," kata Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Rundingan di Jeddah itu akan menumpukan untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata yang berkesan sehingga kira-kira 10 hari bagi memudahkan aktiviti kemanusiaan.
Pada 15 April, pertempuran meletus antara tentera Sudan dan RSF di Khartoum dan kawasan sekitarnya, menyaksikan lebih 600 orang terbunuh dan beribu-ribu cedera.
Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021 apabila tentera memecat kerajaan peralihan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat, satu tindakan yang dikecam sebagai "rampasan kuasa".
Tempoh kerajaan peralihan di Sudan yang bermula pada Ogos 2019 selepas penyingkiran Presiden Omar al-Bashir, dijadualkan berakhir dengan pilihan raya pada awal 2024. - BERNAMA
#konflik Sudan #Setiausaha Agung PBB #Antonio Guterres #bantuan kemanusiaan
;