Ketua PBB rayu bantuan kemanusiaan ditingkatkan ke Gaza

Bernama
Februari 2, 2024 14:45 MYT
Serangan kejam Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan. - Gambar fail/AP
ANKARA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menyeru agar peningkatan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza disegerakan akibat masalah kebuluran, hilang tempat tinggal dan keruntuhan sistem kemanusiaan.
"Saya menyeru agar akses kemanusiaan dipercepat, selamat, tanpa halangan, diperluas dan berterusan di seluruh Gaza
"Rakyat di Gaza kelaparan. Seramai 1.7 juta orang telah hilang tempat tinggal. Sistem kemanusiaan semakin runtuh," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Guterres di platform X pada Khamis.
Israel telah melancarkan serangan di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lalu hingga mengorbankan lebih 27,000 rakyat Palestin manakala lebih 66,000 cedera.
Serangan terbabit juga menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan manakala 60 peratus infrastruktur wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.
-- BERNAMA
#Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Antonio Guterres #Gaza #Israel #Palestin #PBB
;