Ketua PBB prihatin dengan kematian orang awam dalam tindakan AS membunuh pemimpin Daish
Bernama
Februari 4, 2022 13:13 MYT
Februari 4, 2022 13:13 MYT
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Khamis melahirkan kebimbangan terhadap korban awam dalam serbuan AS yang membawa kepada kematian pemimpin Daish (IS) Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi.
Ketika diminta komen setiausaha agung mengenai operasi AS di Syria yang mensasarkan al-Qurayshi, Timbalan Jurucakap Guterres, Farhan Haq,berkata: "Kami telah mengambil maklum mengenai pengumuman Presiden AS mengenai kematian pemimpin Daish Abu Ibrahim al-Qurayshi. Kami juga prihatin dengan laporan mengenai korban awam."
"Kami menyeru semua pihak agar mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam selaras dengan kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata Haq, menurut Xinhua.
Dalam kes menentukan pihak yang bertanggungjawab atas kematian akibat serangan, adalah penting untuk menjalankan siasatan, katanya.
"Daish melakukan jenayah kejam dan membawa tragedi serta kematian kepada beribu-ribu lelaki, wanita, dan kanak-kanak. Dan kami ingin mengambil peluang ini untuk memperingati mangsa keganasan dan keluarga mereka di seluruh dunia. Seperti yang diketahui, sistem PBB secara keseluruhannya adalah sangat bersepadu dalam usaha untuk bertindak menentang Daish. Jadi sebarang kejayaan tindakan terhadap mereka adalah dialu-alukan," katanya.
Al-Qurayshi dilaporkan meletupkan bom yang membunuhnya dan ahli keluarganya semasa serbuan semalaman oleh pasukan operasi khas AS di bandar Atmeh di wilayah barat laut Idlib di Syria. Tiga belas orang dilaporkan terbunuh, termasuk enam kanak-kanak dan empat wanita.
-- BERNAMA