Ketua PBB beri amaran terhadap stigma, diskriminasi di Internet, media sosial
Bernama
Jun 19, 2022 12:35 MYT
Jun 19, 2022 12:35 MYT
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Sabtu memberi amaran mengenai stigma dan diskriminasi yang ditimbulkan oleh Internet dan media sosial.
"Internet dan media sosial telah menjadi platform menzahirkan kebencian, membolehkannya merebak seperti api merentasi sempadan," Xinhua memetik ketua PBB itu sebagai berkata dalam perutusannya sempena Hari Antarabangsa untuk Menangani Ucapan Kebencian, buat pertama kali sejak Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi itu tahun lepas.
"Penyebaran ucapan kebencian terhadap golongan minoriti ketika pandemik COVID-19 menjadi bukti bahawa masyarakat dunia sangat mudah terdedah kepada stigma, diskriminasi dan konspirasi," kata setiausaha agung itu.
Guterres menggariskan bahawa "ucapan kebencian yang menghasut keganasan, menjejaskan kepelbagaian dan perpaduan sosial, serta mengancam nilai dan prinsip yang menghubungkan kita semua".
"Ia menggalakkan sifat perkauman, xenofobia dan prejudis terhadap wanita; ia menjadikan individu dan masyarakat bersikap tidak berperikemanusiaan; dan ia mempunyai kesan serius terhadap usaha kami untuk menggalakkan keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia, serta pembangunan mampan," katanya.
"Kata-kata ibarat senjata dan boleh menyebabkan kecederaan fizikal, peningkatan ucapan berunsur kebencian telah menyumbang kepada kadar jenayah paling mengerikan dan tragis pada zaman moden, daripada anti Yahudi yang mendorong pembunuhan beramai-ramai Holocaust, kepada pembunuhan etnik Tutsi di Rwanda pada 1994."
"Sebagai tindak balas kepada ancaman yang semakin meningkat, saya telah melancarkan Strategi dan Pelan Tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Ucapan Kebencian tiga tahun lalu.
"Ia menyediakan rangka kerja pelan sokongan PBB kepada negara anggota untuk menentang ancaman ini sambil menghormati kebebasan bersuara dan pendapat, melalui kerjasama dengan masyarakat sivil, media, syarikat teknologi dan platform media sosial," kata pegawai tertinggi PBB itu.
Ketua PBB memberi amaran bahawa ucapan kebencian adalah berbahaya kepada semua lapisan masyarakat dan memeranginya adalah peranan semua pihak.
"Hari Antarabangsa untuk Menangani Ucapan Kebencian pertama kali ini adalah seruan untuk bertindak. Marilah kita terus melakukan segala yang termampu untuk mencegah dan menamatkan ucapan kebencian dengan saling hormat-menghormati mengenai kepelbagaian dan keterangkuman," tambahnya.
Pada Julai 2021, Perhimpunan Agung PBB mengetengahkan kebimbangan global mengenai "penyebaran eksponen dan percambahan ucapan kebencian" di seluruh dunia dan menerima pakai resolusi yang "mempromosikan dialog dan toleransi antara agama dan budaya menentang ucapan kebencian".
Resolusi itu mengiktiraf keperluan menentang diskriminasi, xenofobia dan ucapan kebencian serta menyeru semua pihak yang berkaitan termasuk negara, untuk meningkatkan usaha menangani fenomena ini, selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Resolusi itu mengisytiharkan 18 Jun sebagai Hari Antarabangsa untuk Menangani Ucapan Kebencian.
-- BERNAMA