Ketua PBB alu-alukan kenyataan bersama negara bersenjata nuklear

Bernama
Januari 4, 2022 13:30 MYT
Guterres terkesan terhadap komitmen negara-negara bersenjata nuklear bagi mencegah perang nuklear. - Reuters
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin mengalu-alukan kenyataan bersama pemimpin negara bersenjata nuklear - Rusia, China, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis - berhubung pencegahan perang nuklear dan menghindari perlumbaan penghasilan senjata, kata jurucakapnya.
"Setiausaha agung itu menghargai pengiktirafan negara bersenjata nuklear tentang keperluan mematuhi perjanjian dan komitmen pengawalan senjata bilateral (dua hala) dan multilateral (berbilang hala) serta pelucutan senjata, termasuk memenuhi kewajipan di bawah Rundingan Terhadap Pengawalan Senjata Nuklear yang berkaitan dengan pelucutan senjata nuklear," Xinhua memetik jurucakap Stephane Dujarric sebagai berkata.
Guterres terkesan terhadap komitmen negara-negara bersenjata nuklear bagi mencegah perang nuklear, serta mengharapkan butiran lebih lanjut terhadap inisiatif yang bakal diambil, menurut kenyataan itu.
Hanya satu cara menghapuskan risiko terhadap serangan nuklear, hapuskan semua senjata nuklear, kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa Guterres sedia untuk bekerjasama dengan negara terbabit dan negara anggota PBB demi mencapai matlamat itu secepat mungkin.
-- BERNAMA
#Antonio Guterres #nuklear #negara nuklear #perjanjian
;