Ketua PBB adakan pertemuan dengan penyumbang UNRWA

Bernama
Januari 30, 2024 16:23 MYT
Guterres akan menjadi tuan rumah untuk pertemuan itu di ibu pejabat PBB di New York pada Selasa. -Gambar fail/AP
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan negara yang menjadi penyumbang kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin, susulan isu beberapa negara memutuskan menangguhkan sumbangan mereka.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata Guterres akan menjadi tuan rumah untuk pertemuan itu di ibu pejabat PBB di New York pada Selasa, lapor Agensi Berita IRNA.
Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Britain, Finland dan Jepun bertindak sedemikian kerana mendakwa 12 kakitangan agensi PBB berkenaan terlibat dalam konflik antara Hamas-Israel.
Ketua UNRWA Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan menamatkan serta-merta kontrak kakitangan berkenaan jika didapati terlibat.
Jurucakap UNRWA itu turut memberi amaran bahawa agensi berkenaan tidak dapat meneruskan aktiviti dan perkhidmatan di seluruh wilayah, termasuk Gaza selepas penghujung Februari jika pembiayaan terputus.
Langkah menangguhkan dana untuk UNRWA itu telah mencetuskan kecaman dari banyak negara, termasuk Iran yang mengatakan agensi itu adalah talian hayat untuk lebih dua juta penduduk di Semenanjung Gaza.
Tindakan seperti itu jelas menunjukkan tindakan pihak tertentu terutamnya Barat yang menyokong jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Israel.
Pegawai PBB dan Palestin sebelum ini telah meminta pembiayaan yang berterusan untuk membolehkan kerja-kerja kemanusiaan UNRWA di Gaza dapat terus dilaksanakan.
Menurut laporan, kira-kira 150 pekerja yang bertugas untuk institusi antarabangsa, termasuk UNRWA telah terbunuh sejak Israel melancarkan perang genosid.
-- BERNAMA
#PBB #Antonio Guterres #UNRWA #Palestin #Israel
;