Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee positif COVID-19

Agensi
November 22, 2022 21:40 MYT
Lee duduk di sebelah Presiden China Xi Jinping, di mana kedua-dua pemimpin dilihat tidak memakai pelitup wajah dan sempat berjabat tangan dengan Menteri Luar China Wang Yi- Athit Perawongmetha/Pool Photo via AP
HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee disahkan positif COVID-19 selepas bertemu dengan pemimpin serantau lain di forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Thailand.
Memetik laporan The Manila Times, Lee disahkan negatif sepanjang empat hari berada di Bangkok tetapi keputusan ujian bertukar positif sebaik tiba di lapangan terbang Hong Kong, malam tadi.
Jurucakap Pejabat Ketua Eksekutif, Lee kini berada dalam ruangan pengasingan dan akan bekerja dari rumah manakala pegawai lain yang turut serta dalam rombongan disahkan negatif.
Difahamkan tujuan Lee berada di forum ekonomi Asia-Pasifik adalah untuk mempromosikan imej Hong Kong selepas bandar itu dibuka semula kepada dunia selepas mengenakan sekatan ketat disebabkan pandemik COVID-19.
Di persidangan itu, Lee bertemu dengan ramai pemimpin termasuk Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Dalam beberapa sesi tertutup, beliau dilihat duduk di sebelah Presiden China Xi Jinping, di mana kedua-dua pemimpin dilihat tidak memakai pelitup muka dan sempat berjabat tangan dengan Menteri Luar China Wang Yi yang memakai pelitup muka.
Minggu lalu, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen meninggalkan sidang kemuncak G20 di Bali, Indonesia lebih awal selepas diagnosis COVID-19.
Beliau disahkan positif dua hari selepas beliau bertemu pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Perdana Menteri China, Li Keqiang pada Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja.
#APEC #COVID-19 #Joe Biden #john lee
;