Ketua Daish Abu Bakr al-Baghdadi terbunuh dalam operasi tentera AS
Agensi
Oktober 27, 2019 21:33 MYT
Oktober 27, 2019 21:33 MYT
KETUA kumpulan militan Daish, Abu Bakr al-Baghdadi disahkan terbunuh dalam operasi kenteraan di Syria yang diketuai Amerika Syarikat pada Ahad.
Perkara itu diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam satu sidang media khas di Washington D.C.
Operasi bagi menangkap dan membunuh al-Baghdadi dilancarkan di wilayah Idlib, Syria.
Menurut Trump, Baghdadi membunuh diri dengan meletupkan jaket pengeboman diri ketika serangan operasi khas tentera AS. Tiga anaknya turut terbunuh.
Baghdadi adalah sasaran operasi yang dirancang secara rahsia dan diluluskan oleh presiden Donald Trump.
Badan pemantau perang Syria, Syrian Observatory for Human Rights melaporkan, serangan yang melibatkan lapan helikopter dan sebuah pesawat perang mensasarkan kawasan Barisha di utara Idlib, di mana operasi daish dipercayai bersembunyi.
Katanya, serangan berlaku selama dua jam dan mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan kematian.
Namun sama ada baghdadi antara yang maut, belum dapat disahkan.
Menurut laporan media, kajian biometrik sedang dijalankan untuk mengesahkan identiti mereka yang terbunuh dalam serbuan itu.
Baghdadi, 48 tahun dan berasal dari Iraq, telah membina gerakan ekstremis Daish yang ganas dan berpengaruh.
Sekitar tahun 2014, dia didakwa mengisytiharkan sebuah wilayah 'khalifah' di seluruh wilayah Syria dan Iraq.
Ia dipersalahkan kerana mengakibatkan kematian ribuan orang awam, melaksanaan hukuman mati dan dituduh melakukan jenayah perang.
#Abu Bakr Al-Baghdadi
#Amerika Syarikat
#Idlib
#Ketua Daish
#militan Daish
#operasi khas tentera AS
#Syria