Ketua Daesh di Iraq dan Syria terbunuh dalam operasi tentera pakatan

Astro Awani
Mac 15, 2025 12:20 MYT
Pengumuman kejayaan operasi menumpaskan Abu Khadija ini dibuat ketika Iraq semakin bimbang mengenai potensi kebangkitan semula Daesh susulan pergolakan politik di Syria. - Gambar hiasan
KETUA kumpulan militan Daesh di Iraq telah terbunuh dalam satu operasi yang dijalankan oleh Pasukan Perisikan Kebangsaan Iraq dengan kerjasama tentera pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS).
Perkara itu diumum Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani sambil menyifatkan ia satu kemenangan besar ke atas kumpulan pengganas yang mengancam kestabilan di rantau tersebut.
"Iraq terus mencapai kemenangan luar biasa terhadap kuasa kegelapan dan keganasan," kata al-Sudani dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Suspek yang terbunuh dikenal pasti sebagai Abdallah Maki Mosleh al-Rifai atau lebih dikenali sebagai 'Abu Khadija', yang merupakan timbalan khalifah Daesh dan salah seorang pengganas paling berbahaya di Iraq serta di peringkat global, menurut kenyataan itu.
Presiden AS Donald Trump, turut mengesahkan kejayaan operasi tersebut menerusi platform Truth Social.
"Hari ini, ketua ISIS (Daesh) yang melarikan diri di Iraq telah terbunuh. Dia telah diburu tanpa henti oleh pejuang kita yang berani," katanya sambil menegaskan operasi itu dijalankan dengan kerjasama kerajaan Iraq dan pemerintah wilayah Kurdish.
Seorang pegawai keselamatan Iraq memaklumkan, operasi pada Khamis malam itu dilakukan menerusi serangan udara di wilayah Anbar, barat Iraq.
Pengumuman kejayaan ini dibuat pada hari yang sama dengan lawatan rasmi pertama diplomat tertinggi Syria ke Iraq, di mana kedua-dua negara berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam memerangi saki-baki militan Daesh.
Menteri Luar Iraq Fouad Hussein berkata pada satu sidang media bahawa Iraq dan Syria menghadapi cabaran bersama dalam menangani ancaman Daesh, terutama di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Beliau turut merujuk kepada pembentukan bilik operasi serantau yang disertai Syria, Iraq, Turkiye, Jordan dan Lubnan dalam mesyuarat di Amman baru-baru ini bagi memperkukuh usaha menangani ancaman Daesh.
Pengumuman kejayaan operasi menumpaskan Abu Khadija ini dibuat ketika Iraq semakin bimbang mengenai potensi kebangkitan semula Daesh susulan pergolakan politik di Syria.
Walaupun kerajaan baharu Syria, yang dipimpin kumpulan bekas pemberontak Islamis Hayat Tahrir al-Sham, telah melancarkan operasi membanteras sel Daesh, terdapat kebimbangan bahawa ketidakstabilan di negara itu boleh membuka ruang kepada Daesh untuk kembali aktif.
Pada tahun lalu, Amerika Syarikat dan Iraq telah mencapai persetujuan untuk menamatkan misi ketenteraan pakatan antarabangsa di Iraq menjelang September 2025, dengan pengunduran tentera AS dari beberapa pangkalan yang telah diduduki sejak dua dekad lalu.
Bagaimanapun, kejatuhan Assad pada Disember telah mencetuskan semula perdebatan dalam kalangan pemimpin Iraq, termasuk gabungan politik berhaluan Syiah yang membawa al-Sudani ke tampuk pemerintahan, mengenai keperluan menilai semula ancaman Daesh dan kerjasama keselamatan dengan Washington.
#Daesh #Syiah #Syria #Iraq
;