Ketibaan pelancong China ke Thailand lebih rendah berbanding sasaran

Bernama
April 24, 2023 04:00 MYT
Thailand merekodkan hampir 6.5 juta ketibaan asing pada suku pertama tahun ini, masih jauh berbanding 10.7 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2019. - Foto fail/AP
BANGKOK: Jumlah pelawat China yang mengunjungi Thailand dalam empat bulan pertama tahun ini dilihat lebih rendah berbanding jangkaan dan ini mungkin boleh menjejaskan sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 5 juta ketibaan.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan Thailand(Atta), Sisdivachr Cheewarattanaporn, berkata industri pelancongan perlu menunggu separuh kedua tahun ini untuk melihat dengan lebih jelas sama ada sasaran itu mampu dicapai atau sebaliknya.
Setakat 18 April, kira-kira 695,000 pelawat China mengunjungi Thailand iaitu hanya 14 peratus daripada sasaran.
Jumlah ketibaan dari China dalam dua bulan pertama sebanyak 247,497 sebelum beransur-ansur meningkat kepada 269,745 pada Mac.
Sisdivachr berkata selain kapasiti tempat duduk yang tidak mencukupi dan kos perjalanan yang meningkat, pelancong yang ingin datang ke Thailand juga menghadapi masalah berkaitan permohonan visa.
Beliau berkata Atta ada menerima beberapa aduan daripada pelancong mengenai proses visa yang menyulitkan, menyebabkan beberapa pelancong mengubah rancangan mereka dan memutuskan untuk tidak melawat negara itu.
Thailand merekodkan hampir 6.5 juta ketibaan asing pada suku pertama tahun ini, masih jauh berbanding 10.7 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2019.
Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Yuthasak Supasorn, berkata perbincangan mengenai masalah visa itu telah diadakan namun buat masa ini belum mencapai sebarang penyelesaian.
Beliau berkata kesukaran dengan prosedur visa adalah berkaitan dengan had untuk permohonan e-visa sebanyak 80,000 sebulan.
-- BERNAMA
#Thailand #pelancongan antarabangsa #Pelancong China #ejen pelancongan
;