Keterujaan Putera George Britain cetuskan keceriaan di zoo Australia

Agensi
April 20, 2014 16:18 MYT
Putera George teruja melihat kandang 'bilby' di Sydney. - Gambar AFP
Putera George dari Britain keluar di khalayak ramai dengan ibu bapanya pada hari Ahad buat kali pertama di Australia, untuk melawat kehidupan liar di Zoo Taronga di Sydney.
George, berusia lapan bulan dan bakal menaiki takhta selepas datuknya Putera Charles dan bapanya Putera William, mencuri perhatian apabila melawat zoo yang berhadapan dengan Sydney Opera House dan Sydney Harbour Bridge.
Keluarga diraja berada di zoo itu untuk melawat kandang arnab bilby dan untuk melihat seekor arnab yang dinamakan sempena nama George.
Berpakaian kameja berjalur biru, seluar pendek biru dan kasut hitam, putera berkenaan jelas teruja untuk melihat habitat haiwan berkenaan dengan lebih dekat.
George turut melambai kepada bilby berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Boy.
Putera berkenaan tersenyum dan sepat ketawa kepada jurugambar sementara William mendukung dan menciumnya di kepala. Bayi itu juga teruja untuk menerima patung berbentuk bilby namun melemparnya ke tanah dan terus mencetuskan ketawa dari khalayak ramai.
Hadiah hari jadi Istimewa
George memegang erat kepada telinga patung bilby sementara Duke dan Duchess Cambridge melancarkan plak bagi menghormatinya. Kandang berkenaan dibiayai oleh kerajaan Australia sebagai hadiah sempena kelahiran George.
Penjaga kanan zoo Paul Davies berkata putera muda itu teruja dengan haiwan yang ada dan cuba untuk menyentuh semua binatang yang dekat.
"Dia sangat luar biasa. Dia begitu baik, dia suka semua binatang," katanya.
"Mereka seperti mana-mana keluarga yang datang ke zoo."
Zoo ini terpaksa menutup pintu pada jam 1.30 petang kerana ramai yang berkumpul untuk menanti ketibaan kerabat diraja ini.
Ia adalah kemunculan pertama George di Australia, pada hari ke-5 keluarga berkenaan berada di Australia. Nenek William, Ratu Elizabeth II adalah ketua negara Australia.
George mempunyai hanya satu acara rasmi semasa lawatan mereka ke New Zealand pada minggu lepas iaitu bermain dengan sekumpulan kanak-kanak kecil tempatan.
Sebelum itu, William dan Kate menghadiri upacara gereja sempena Easter Sunday di St. Andrew’s Cathedral di Sydney dan menandatangani bible yang dibawa ke Australia oleh Armada Pertama peneroka Eropah pada tahun 1788.
Ibu bapa William, Diana dan Charles telah menandatangani bible yang sama ketika lawatan mereka ke Australia pada tahun 1983, sama seperti yang dilakukan oleh datuk dan nenek William pada tahun 1954.
Keluarga diraja muda itu akan meninggalkan Sydney pada malam Ahad untuk ke Canberra, dimana mereka akan berehat sebelum melawat Uluru, tapak ikonik dan suci bagi kaum pribumi Australia.
#Australia #Catherine Middleton #Putera George #Putera William #zoo
;