Keterjaminan makanan: Presiden Nigeria isytihar darurat

Bernama
Julai 14, 2023 17:44 MYT
Presiden Nigeria Bola Tinubu mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas kepada inflasi tinggi yang mengancam keterjaminan makanan di negara paling ramai penduduk di Afrika itu. - Gambar fail/REUTERS
ABUJA: Presiden Nigeria Bola Tinubu mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas kepada inflasi tinggi yang mengancam keterjaminan makanan di negara paling ramai penduduk di Afrika itu, kata Dewan Negara pada Khamis, lapor Xinhua.
Jurucakap presiden, Dele Alake, mendedahkan perkara itu pada taklimat media di Abuja, sambil menambah Tinubu "tidak mengambil kira kenaikan kos makanan dan bagaimana ia memberi kesan kepada rakyat... kemampuan telah menjadi masalah utama bagi kebanyakan rakyat Nigeria di seluruh negara".
Data daripada Biro Perangkaan Kebangsaan menunjukkan kadar inflasi utama di Nigeria kekal tinggi sejak Januari 2021. Ia melonjak kepada 22.41 peratus pada Mei dengan makanan menjadi pemacu inflasi terbesar.
Alake berkata kerajaan akan melaksanakan beberapa pendekatan untuk membalikkan inflasi dan menjamin bekalan makanan mampu milik tanpa gangguan kepada rakyat Nigeria.
Beliau menjelaskan bahawa pengisytiharan darurat mengenai keselamatan makanan oleh presiden bertujuan untuk menggerakkan semua sumber yang ada bagi mengurangkan krisis.
Kerajaan bercadang menggunakan sebahagian daripada wang yang dijimatkan berikutan penamatan subsidi bahan api untuk meningkatkan sektor pertanian dalam jangka pendek.
Selain itu, kerajaan juga akan memperkenalkan campur tangan dan penyelesaian selanjutnya dalam jangka sederhana dan panjang.
"Kerajaan akan segera mengeluarkan baja dan bijirin kepada petani dan isi rumah untuk mengurangkan kesan penghapusan subsidi," katanya.
Beliau berkata presiden juga mengarahkan Kementerian Pertanian dan Sumber Air untuk bekerjasama rapat bagi memastikan pengairan tanah ladang mencukupi dan menjamin makanan dihasilkan sepanjang tahun.
Nigeria bergelut dengan beberapa siri cabaran dalam sektor pertaniannya, termasuk konflik antara petani-pengembala, kesan perubahan iklim, akses terhad kepada teknik pertanian moden dan peningkatan ancaman haiwan perosak dan penyakit, yang menjejaskan pengeluaran makanan dengan ketara dan membawa kepada peningkatan harga.
-- BERNAMA
#Presiden Nigeria Bola Tinubu #isytihar darurat #keterjaminan makanan #inflasi tinggi
;