Keterjaminan makanan di Gaza 'berisiko bertambah buruk' - PBB
Bernama
Mac 6, 2025 10:30 MYT
Mac 6, 2025 10:30 MYT
Deretan trak kelihatan di lintasan Rafah sebelah Mesir yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza susulan tindakan Israel menyekat kemasukan trak bantuan ke Gaza, 2 Mac 2025. (Foto AP)
HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memberi amaran mengenai situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dengan penutupan berterusan semua pintu masuk kargo menjejaskan penghantaran bantuan dengan ketara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Rakan-rakan kemanusiaan kami memberi amaran bahawa penutupan semua pintu masuk kargo baru-baru ini menjejaskan kemajuan penting dalam menyampaikan bantuan penting kepada penduduk Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Jan," kata jurucakap Stephane Dujarric pada sidang akhbar.
Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Dujarric turut menyuarakan kebimbangan bahawa keterjaminan makanan di Gaza berisiko semakin merosot.
"Sekiranya gangguan terhadap penghantaran bantuan berterusan, sekurang-kurangnya 80 dapur komuniti mungkin terpaksa menghentikan operasi mereka," katanya.
Dujarric turut menegaskan bahawa sektor pendidikan di Gaza berdepan cabaran besar akibat sekatan akses yang menyebabkan kekurangan bekalan sekolah asas.
"Sebahagian pelajar dapat kembali ke sekolah yang sebelum ini dijadikan sebagai pusat perlindungan," katanya.
Beliau juga menekankan jurang kritikal dalam pembiayaan usaha bantuan kemanusiaan untuk wilayah Palestin.
"Lebih dua bulan dalam setahun, kami hanya memperoleh kurang empat peratus daripada US$4 bilion yang diperlukan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan paling asas di Wilayah Palestin yang Diduduki khususnya di Gaza," katanya.
Beliau menegaskan bahawa "skala keperluan amat besar, begitu juga dengan kekurangan dana."
Israel pada Ahad memutuskan untuk menghentikan penghantaran bantuan, beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Hamas dan Tel Aviv tamat.
Fasa pertama perjanjian selama enam minggu yang berkuat kuasa pada akhir Januari itu secara rasmi berakhir tengah malam Sabtu.
Bagaimanapun, Israel belum bersetuju untuk meneruskan fasa kedua perjanjian bagi menamatkan perang secara kekal di Gaza yang telah mengorbankan lebih 48,000 orang.
-- BERNAMA
#Gaza
#PBB
#situasi kemanusiaan semakin meruncing
#pintu masuk kargo ditutup
#bantuan kemanusiaan
#keterjaminan makanan
#Stephane Dujarric