Ketelusan, akauntabiliti wajar ditegakkan dalam memulihkan fungsi PBB - ASEAN
Bernama
November 11, 2023 16:05 MYT
November 11, 2023 16:05 MYT
KUALA LUMPUR: ASEAN menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegakkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti untuk memulihkan fungsi Perhimpunan Agung bagi meningkatkan keberkesanan PBB secara keseluruhan.
Wakil Tetap Malaysia ke PBB Khairi Omar yang mewakili ASEAN pada mesyuarat pleno mengenai tugas Perhimpunan Agung PBB di New York pada Jumaat, berkata ASEAN mengiktiraf keutamaan Perhimpunan Agung sebagai ketua perundingan, penggubal dasar dan institusi yang mewakili PBB.
Beliau berkata sebagai forum unik untuk perbincangan pelbagai hala mengenai isu antarabangsa, usaha itu penting untuk meningkatkan keberkesanan secara keseluruhan, memberi lebih kredibiliti dan kedinamikan kepada penggubalan dasar global dalam sistem PBB.
Khairi juga menekankan komitmen ASEAN untuk mengukuhkan proses berkenaan dan bekerjasama dengan negara anggota yang lain untuk mencapai hasrat itu.
"Ketika kita berusaha untuk menangani cabaran bersama melalui "reinvigorated multilateralism" langkah memulihkan fungsi Perhimpunan Agung penting untuk membincangkan isu-isu global yang mendesak seperti perubahan iklim dan krisis kesihatan global.
"Dengan reformasi yang berani dan komitmen yang diperbaharu, kita boleh memulihkan keutamaan Perhimpunan Agung dalam tadbir urus global," katanya.
Bagi meningkatkan peranan, keberkesanan dan kecekapan perhimpunan itu, ASEAN antara lain telah menyatakan sokongannya terhadap kesaksamaan gender dan keseimbangan geografi.
Mengenai "tradisi" Jawatankuasa Pertama tidak mendedahkan nama negara anggota yang memohon undian, walaupun terdapat permintaan oleh anggota yang lain, beliau menyifatkan amalan sedemikian dilihat tidak konsisten dengan prinsip ketelusan dan keterbukaan PBB.
"Dalam hal ini, ASEAN menggariskan kepentingan untuk menegakkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti merentasi semua jawatankuasa utama. Ini seharusnya termasuk amalan standard untuk mendedahkan maklumat mengenai negara anggota yang meminta undian...," katanya.
Menyentuh mengenai siaran secara langsung pelbagai mesyuarat di PBB yang menyumbang ke arah meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, Khairi berkata ia harus dilakukan selaras dengan prinsip penting seperti menghormati privasi dan maruah melalui paparan rakaman foto atau video yang tidak sesuai semasa persidangan, terutamanya apabila disiarkan kepada umum.
"Kami amat berharap langkah-langkah yang sewajarnya akan dipertimbangkan oleh Perhimpunan Agung untuk membantu mencegah dan menangani tindakan sedemikian secara berkesan pada masa hadapan demi menjaga reputasi badan dunia itu," katanya.
-- BERNAMA