Ketegangan Selatan Thai: Belum capai kata sepakat, tapi setuju JCPP - BRN
Hasimi Muhamad
Februari 7, 2024 19:15 MYT
Februari 7, 2024 19:15 MYT
KUALA LUMPUR: Rundingan damai antara Kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang berlangsung selama dua hari di sini belum mencapai kata sepakat berhubung keamanan berkekalan di Wilayah Selatan Thailand.
Ketua delegasi BRN, Anas Abdulrahman bagaimanapun berkata, pihaknya dan Panel Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) yang diwakili oleh Chatchai Bangchaud secara prinsip bersetuju menyediakan Pelan Komprehensif Bersama Ke Arah Pendamaian (JCPP).
Jelas beliau, perincian mengenai JCPP dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Pasukan Teknikal kedua-dua pihak, yang dijadual dalam masa terdekat.
"Dalam dua hari ini kita beri fokus untuk mencari hala tuju proses rundingan yang dapat menjadi pelan 'roadmap' dalam rundingan kita supaya ia betul-betul dapat menjadi panduan di dalam proses menuju kepada pendamaian hakiki bagi umat Islam dan bangsa Melayu Pattani.
"Kita ada kata sepakat menggunakan JCPP sebagai pelan 'roadmap' dalam rundingan damai ini. Mengenai perincian JCPP, kita akan bincang dalam pertemuan teknikal dalam masa terdekat, dan kita belum bincang sehingga solusi isi politik," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Proses Dialog Damai ke-7, hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Fasilitator Malaysia, Jeneral Profesor Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (B), dan turut disertai oleh pemerhati antarabangsa.
Rundingan damai tersebut tertangguh setahun susulan pilihan raya Thailand dan kelewatan membentuk kerajaan baharu.
Mengulas lanjut, Anas berkata aspek pemerintahan dan pengiktirafan tentang identiti komuniti Pattani antaranya yang akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Pasukan Teknikal nanti.
Selain itu, ujar beliau isu ekonomi dan pembangunan; hak asasi manusia; pendidikan dan kebudayaan; serta sistem keamanan dan keselamatan masyarakat Pattani.
"Ini kita belum bincang secara terperinci dan masing-masing belum bentang konsep yang akan dilaksanakan di Pattani.
"Cuma kita harap pemerintahan yang wujud di Pattani pasti sesuai dengan aspirasi rakyat tempatan. Maka segala apa yang diwujudkan dalam sistem pemerintahan di Pattani harus relevan," tambah beliau.
Sementara itu, Zulkifli berkata setakat ini kedua-dua pihak gembira dengan hasil yang dicapai pada Mesyuarat Proses Dialog Damai ke-7 yang diadakan pada 6 dan 7 Februari.
Jelas beliau lagi, Malaysia turut kekal dengan pendirian serta komited sebagai fasilitator bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand.
"BRN bersetuju dengan cadangan (daripada PEDP), namun terdapat beberapa cadangan juga telah dikemukakan oleh BRN untuk memastikan ia telus. Pada penghujungnya, ia adalah situasi menang-menang.
"Kedua-dua panel dan dialog bersetuju bahawa aspek keterangkuman adalah sangat-sangat penting, apakah maksudnya? Ia mesti melibatkan pemegang taruh daripada kedua-dua pihak termasuk pihak lain seperti PULO, BIPP, rakyat Pattani, diaspora serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang berminat," katanya.
Selatan Thailand terdiri daripada wilayah penduduk majoriti Islam iaitu Pattani, Narathiwat, Yala serta empat daerah dalam wilayah Songkhla.
Lebih 7,300 orang terbunuh dalam keganasan di wilayah itu sejak dua dekad lalu.
Pada tahun lalu, proses rundingan pertama kali dikendalikan oleh Malaysia sebagai fasilitator membawa kepada persetujuan BRN menerima kumpulan-kumpulan lain dilibatkan dalam rundingan damai berkenaan.
Rundingan pada Februari 2023 juga menyaksikan pembentukan JCCP yang bertunjang tiga titik persamaan- perundingan awam, mengurangkan keganasan serta penyelesaian politik.
#Proses Damai Wilayah Selatan Thailand
#Barisan Revolusi Nasional
#Panel Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan Thailand
#Pergolakan di Selatan Thailand