Ketegangan penganut Buddha-Islam di Myanmar, 2 lelaki maut

Astro Awani
Julai 3, 2014 21:58 MYT
Ketegangan penganut Buddha-Islam di Myanmar, 2 lelaki maut
Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar, diletakkan di bawah perintah berkurung mulai 9 malam hingga 5 pagi selepas dua orang terbunuh dalam keganasan terbaru melibatkan orang Islam dan Buddha di negara itu.
Polis yang lengkap bersenjata berkawal di jalan raya di sekitar bandar itu selepas segerombolan penganut Buddha mengamuk di jalanan untuk dua malam berturut-turut dan berlarutan sampai ke pagi Khamis, lapor agensi berita AFP.
Dua orang yang terbunuh itu merupakan seorang penganut Buddha dan seorang lagi, orang Islam. 14 orang dilaporkan cedera.
Agensi berita The Associated Press (AP) yang memetik sumber penduduk tempatan melaporkan lelaki Islam itu diserang semasa dalam perjalanan hendak ke masjid untuk solat Subuh. Lelaki itu dikatakan dibelasah oleh empat atau lima orang.
"Dia tidak ada kena-mengena dengan kekacauan ini. Dia hanya hendak ke masjid," kata seorang penduduk tempatan seperti dipetik oleh AFP.
Menurut polis, samseng itu mengamuk kerana khabar angin mengenai satu kejadian rogol dan menyerang sebuah kedai makan milik orang Islam pada Selasa.
Sami Buddha yang radikal, Wirathu menyebarkan dakwaan mengenai kes rogol itu melalui Facebook hanya beberapa jam sebelum ketegangan meletus. Gerakan keagamaannya yang cenderung kepada fahaman kebangsaan melancarkan kempen memulau perniagaan milik orang Islam. Beliau juga
mendukung beberapa undang-undang kontroversi yang dilihat bertujuan menyekat kebebasan beragama.
Polis memberitahu mereka maklum tentang dakwaan kes rogol itu tetapi masih belum membuat sebarang tangkapan.
Polis mengawal keadaan termasuk dengan menggunakan peluru getah pada malam pertama namun kejadian sama berulang pada malam semalam.
"Lebih 100 motosikal menderu pada Rabu malam. Mereka melemparkan batu ke arah masjid dan menyanyikan lagu kebangsaan untuk menakut-nakutkan orang Islam," kata Win Mya Mya, seorang Muslim yang juga pemimpin kanan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) seperti dipetik oleh AP.
Sama seperti banyak orang lain, beliau menyalahkan polis kerana gagal mengawal samseng Buddha itu.
Penduduk Islam di Myanmar berjumlah hanya 4 peratus daripada anggaran 60 juta penduduk.
Dua tahun lalu, ketegangan meletus di negeri Rakhine di sebelah barat mengakibatkan lebih 140,000 penduduk kebanyakan etnik Rohingya yang beragama Islam jadi pelarian.
Sejak itu, masyarakat Islam di serata Myanmar sering jadi sasaran serangan rambang lazimnya akibat khabar angin atau onar mereka yang tidak bertanggungjawab.
#Buddha #Islam #keganasan #Mandalay #Myanmar #Rohingya
;