Ketegangan berlaku di luar kediaman Imran Khan di bandaraya Lahore
Bernama
Mei 18, 2023 00:37 MYT
Mei 18, 2023 00:37 MYT
NEW DELHI: Ketegangan dilaporkan berlaku di luar perkarangan kediaman bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan di bandar Lahore pada Khamis susulan penahanan penyokongnya.
Pentadbiran sementara wilayah Punjab pada Rabu mendakwa terdapat "30-40 pengganas" di kawasan perkarangan Zaman Park dan memintanya menyerahkan mereka sebelum 2 petang Khamis.
Difahamkan, perkataan "pengganas" merujuk kepada mereka yang mungkin mengambil bahagian dalam protes terhadap penahanan Imran pada 9 Mei.
Perintah pembebasan Imran dengan ikat jamin dikeluarkan Mahkamah Tinggi Islamabad pada 12 Mei, sehari selepas Mahkamah Agung memutuskan penahanannya oleh pasukan separa tentera Renjer sebagai tidak sah.
Imran berkata beliau menjangkakan akan ditahan sekali lagi ketika konfrontasi semakin meningkat antara partinya Tehreek-e-Insaf (PTI) dan kerajaan.
Kerajaan menuduh penyokong Imran terlibat dalam insiden ganas minggu lalu.
Imran menolak dakwaan bahawa mereka yang terlibat dalam keganasan kini berlindung di rumahnya.
"Ia adalah karut sama sekali," katanya dalam wawancara bersama media.
Imran sebelum itu menjemput media ke rumahnya untuk melihat sama ada "pengganas" bersembunyi di situ.
"Saya dengar ada 40 pengganas berlindung di rumah saya. Saya ada permintaan, jika ada 40 pengganas, ia mengancam nyawa saya. Sila datang (untuk menangkap mereka), tetapi jangan melancarkan serbuan. Bawa waran, seperti masyarakat bertamadun, sekurang-kurangnya memberitahu kami nama-nama pengganas ini," kata Imran pada Rabu.
Sekurang-kurangnya 25 penunjuk perasaan terbunuh manakala 600 lagi cedera dalam pergolakan minggu lalu, menurut PTI.
Imran berkata lebih 7,500 penyokong dan pemimpin parti telah ditahan setakat ini.
Bekas perdana menteri itu dikaitkan dengan 145 kes polis membabitkan keganasan hingga rasuah sejak kerajaannya digulingkan dalam undi tidak percaya parlimen pada April 2022.
Setelah pulih daripada kecederaan yang dialami ketika cubaan membunuh pada 3 November tahun lalu, Imran telah meningkatkan aktiviti politiknya bagi menuntut pilihan raya baharu.
Ketegangan di Pakistan semakin meningkat manakala ekonominya kekal rapuh di tengah-tengah inflasi yang serius dan krisis pertukaran wang asing yang semakin meningkat.
-- BERNAMA