AS ketatkan syarat kemasukan penumpang udara dari zon Ebola

Astro Awani
Oktober 22, 2014 12:15 MYT
Saringan kesihatan Ebola di lima buah lapangan terbang AS kini dipertingkatkan.
Amerika Syarikat (AS) mengumumkan untuk mengetatkan syarat kemasukan penumpang udara dari negara-negara Afrika Barat yang dibelenggu wabak Ebola, bermula semalam.
Penumpang pesawat dari negara-negara berkenaan kini hanya dibenarkan masuk ke AS melalui lima buah lapangan terbang yang sudah bersedia dengan prosedur pemeriksaan kesihatan tambahan.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri telah mengarahkan semua penumpang yang memulakan perjalanan udara dari Guinea, Liberia atau Sierra Leone untuk mengubah laluan mereka ke lapangan terbang yang ditetapkan iaitu Lapangan Terbang JFK di New York, Lapangan Terbang Newark, Washington Dulles, Atlanta atau Chicago.
Penguatkuasaan peraturan itu bermula hari ini.
Tiada sebarang jadual penerbangan terus ke AS dari tiga buah negara di tengah-tengah zon epidemik itu, namun pengembara dari rantau tersebut lazimnya akan melalui hab transit di Afrika dan Eropah.
Bulan ini, seorang warga Liberia yang positif Ebola telah tiba di Dallas, Texas dan kemudiannya menjangkiti dua orang pekerja kesihatan AS sebelum meninggal dunia. Perkembangan tersebut memberi tekanan kepada pentadbiran Presiden Barack Obama untuk menguatkuasakan larangan khusus dalam akses penerbangan penumpang.
Pihak berkuasa kesihatan AS telah menyiapkan sistem saringan kesihatan tambahan di kelima-lima lapangan terbang itu. Biasanya, 94 peratus pengembara yang datang dari tiga negara zon Ebola itu akan melalui proses pemeriksaan mereka.
Berkenaan jadual perjalanan penumpang ke destinasi lain yang memerlukan mereka keluar dari lima buah lapangan terbang itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Jeh Johnson memberitahu, mereka perlu menghubungi pihak syarikat penerbangan untuk tempahan semula tiket.
“Usaha untuk mengenal pasti dan menyaring mereka yang dijangkiti Ebola sudah ditingkatkan. Kita perlu memastikan kepentingan saringan kesihatan ini di kesemua pintu masuk darat, laut dan udara ke AS,” ujar Johnson.
Virus tersebut telah membunuh lebih daripada 4,500 orang di Afrika Barat tahun ini, dan kebimbangan terhadap kemungkinan ia menular menjadi ancaman global tetap wujud. Begitupun, penularan dalam skala kecil di Senegal dan Nigeria sudahpun berjaya ditangani.
#Afrika #Amerika #Ebola #penerbangan #saringan #virus
;