Ketahui 6 lokasi di dunia yang melarang kehadiran wanita

Nickyson Nyambar
April 2, 2022 10:00 MYT
Berikut adalah enam lokasi di seluruh dunia yang mana golongan wanita tidak dibenarkan sama sekali berkunjung ke kawasan-kawasan ini atas pelbagai sebab. - Foto Fail
KUALA LUMPUR : SETIAP lokasi mempunyai ceritanya sendiri. Dari lokasi pelancongan, bangunan bersejarah, monumen, tugu mahupun tempat beribadat, pastinya dibina atas dasar membentuk identiti serta asas peranannya kepada komuniti.
Elemen-elemen ini malah membentuk kepercayaan serta tradisi dalam mengekalkan identiti dan adat resam sebahagian lokasi yang terdapat di dunia ini.
Mungkin pelik bagi anda, namun hakikatnya ada beberapa lokasi di dunia yang 'melarang' kunjungan dari kaum wanita atas sebab tertentu.
Ini adalah merupakan enam lokasi yang 'diharamkan' dan tidak boleh dijejaki golongan itu.
1. Kelab Burning Tree, Maryland, Amerika Syarikat
Kelab Burning Tree yang terletak di Bethesda, Maryland, Amerika Syarikat adalah merupakan kelab golf eksklusif yang dibina khas sejak tahun 1922 untuk menerima kehadiran golongan atasan, ahli monarki serta pemimpin berkuasa dunia yang terdiri daripada kaum lelaki sahaja.
Kemasukan ke Burning Tree hanyalah melalui jemputan khas sahaja. Antara tetamu yang pernah hadir ke lokasi eksklusif itu termasuk barisan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy, Harry S. Truman serta Franklin D. Roosevelt.
Kehadiran wanita di lokasi adalah tidak dibenarkan melainkan atas permintaan istimewa dan sebab-sebab tertentu sahaja.
Kelab itu direka oleh arkitek terkemuka Alister MacKenzie.
2. Gunung Athos, Greece
Lokasi indah yang menghadap laut Aegean ini adalah merupakan lokasi penting dalam ajaran Ortodoks di Eropah sejak sekian lama.
Dengan saiz melebihi 335 kilometer (km) persegi, gunung yang turut dikenali sebagai 'Agion Oros' atau gunung suci berfungsi untuk melatih agamawan yang datang dari serata benua itu.
Pada satu-satu masa, hanya 100 penganut Orthodox dan 10 jemaah luar dibenarkan memasuki kawasan bangunan yang tersergam di gunung berkenaan.
Sejak lebih 1,000 tahun, Gunung Athos mengekalkan tradisinya untuk tidak membenarkan mana-mana wanita memasuki kawasan itu.
Menelusuri sejarah, langkah itu dibuat bagi menghormati kehadiran The Virgin Mary ke kawasan itu sejak dahulu kala dan menukarkan kawasan pergunungan yang sebelum ini penduduknya mengamalkan ajaran paganisme kepada ajaran Ortodoks Kristian.
Usaha dibuat sehingga kini bagi memastikan hanya The Virgin Mary satu-satunya wanita yang pernah menjejaki kaki ke kawasan itu.
3. Pulau Okinoshima, Jepun
Beralih dari Gunung Athos, kita bercakap pula mengenai fakta di Pulau Okinoshima yang berhampiran dengan Kyushu dan menempatkan tiga pulau utama di sekelilingnya iaitu Koyajima, Mikadobashira dan Tenguiwa.
Pulau ini berfungsi sebagai lokasi keramat untuk melakukan ritual khasnya buat agama Shinto di Jepun sejak abad ke 4.
Terdapat beberapa pantang larang dan tradisi melibatkan pengunjung di pulau berkenaan.
Pertamanya, hanya kaum lelaki sahaja dibenarkan memasuki kawasan pulau. Mereka tidak dibenarkan untuk mendedahkan apa-apa perkara yang dilihat atau didengari di pulau berkenaan.
Pengunjung antara lain tidak dibenarkan memakan haiwan sesuka hati terutama yang mempunyai empat kaki.
Golongan wanita tidak dibenarkan mengunjungi pulau kerana mengikut ajaran Shinto, darah haid kaum wanita adalah tidak suci dan tidak boleh 'mencemari' pulau berkenaan.
Hanya 200 lelaki dibenarkan memasuki pulau pada satu tarikh istimewa iaitu 27 Mei setiap tahun.
Mengapa 27 Mei? Tarikh ini merupakan tarikh bagi memperingati perang yang berlaku berhampiran pulau berkenaan. Salah satu syarat yang harus mereka ikuti adalah untuk berendam di pantai tanpa seutas benang. Ia merupakan simbolik penyucian buat pengunjung lelaki sebelum boleh ke lokasi-lokasi lain di pulau berkenaan.
Pulau ini telah diisytiharkan sebagai tapak warisan oleh Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2017.
4. Gunung Omine
Gunung yang terletak di Nara, Jepun ini amat dikenali untuk menguji tiga cabaran keberanian.
Secara rasminya, gunung ini dikenali sebagai Gunung Sanjo. Namun, disebabkan lokasinya yang terletak di banjaran Omine, ia lebih dikenali dengan nama berkenaan oleh masyarakat Jepun.
Gunung ini menjadi lokasi penyembahan utama agama kuno Shugendo.
Sejak sekian lama, hanya golongan lelaki dibenarkan mendaki gunung yang mana puncaknya menempatkan sebuah tokong dikenali Ominesanji di ketinggian lebih 5,000 kaki. Tradisinya dikekalkan sehingga kini.
5. Kuil Shabarimala, India
Kuil Hindu ini terletak di Kerala, India. Meskipun larangan jantina tidak lagi dipraktikkan di kuil ini, namun sejak 1991 lagi, kuil ini menjadi kawasan larangan buat wanita yang masih menjalani proses ovulasi atau erti kata lain, berada dalam tempoh subur.
Ini disebabkan kepercayaan bahawa dewa itu masih bujang.
Bagaimanapun, larangan ini berjaya dicabar oleh kumpulan pejuang hak asasi manusia pada 2018 yang kemudiannya menyebabkan mahkamah India mengisytiharkan bahawa setiap jantina dan usia dibenarkan memasuki kuil untuk beribadat.
Setiap tahun, kuil ini menerima sekitar 40 juta hingga 50 juta pengunjung.
6. Kuil Kartikeya, India
Kuil Kartikeya yang terletak di bandar Pehowa, Haryana ini adalah merupakan struktur bersejarah yang dibina sejak abad ke-lima.
Wanita dilarang sama sekali untuk berada di kuil ini atas dasar kepercayaan terhadap kisah dewa, yang merai brahmachari iaitu penjelmaan bentuk Tuhan Kartikeya. Dikatakan bahawa pemuja sejati kuil ini tidak pernah tewas dalam pertempuran hidup.

* Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!

#wanita #Lokasi unik #fakta dunia #sejarah
;