'Keseronokan' penggunaan kanabis di Thailand mungkin akan berubah selepas pilihan raya nanti
Agensi
Mei 12, 2023 18:31 MYT
Mei 12, 2023 18:31 MYT
BANGKOK: Membeli produk kanabis di jalanan Bangkok atau Phuket mungkin akan berakhir tidak lama lagi.
Selepas empat tahun Parti Bhumjaithai meraih populariti hingga mendapat jutaan undi kerana berikrar mahu mendekriminalisasi kanabis, ia berkemungkinan akan menyaksikan gelombang tentangan dan penolakan besar.
Portal BangkokPost melaporkan, kebanyakan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum Ahad ini memperjuang langkah untuk menilai semula atau mengekang kebebasan dan kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.
Seorang calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra, meyakinkan penyokongnya tentang keperluan dasar kerajaan untuk mengawal penggunaan dadah. Parti itu menunjukkan rekod sokongan yang semakin meluas, malah mencatatkan kemenangan di banyak kawasan sebelum ini.
“Saya tidak mahu anak-anak saya membesar dalam sebuah negara yang mudah mendapatkan dadah, sementara kanabis pula diliberalisasi,” ujarnya.
Sejak kanabis tidak lagi dikategori sebagai dadah terlarang sekitar setahun lalu, ia menjadi isu yang memecahbelahkan parti-parti politik dan juga lebih 52 juta pengundi berdaftar di Negara Gajah Putih itu.
Pihak yang menentang telah mengetengahkan banyak bukti dan alasan berkaitan impak sosial negatif berhubung bahan berkenaan.
Selain itu, sejak kanabis mendapat ‘lampu hijau’, kekecewaan terus berlaku dari segi perundangan kerana tidak ada rang undang-undang khusus berkenaan tatakelola yang berjaya dibentang dan diluluskan untuk tujuan pengawalannya.
Pada masa yang sama, industri baharu berkaitan kanabis telah wujud terlebih dahulu sebelum undang-undang dibuat, yang kemudian menyaksikan banyak pihak dalam kekeliruan - tentang sejauh mana penggunaan rekreasinya dianggap sudah melanggar batas ‘tujuan perubatan’ itu sendiri.
Dengan peraturan yang amat longgar, industri kanabis terus melonjak dengan penglibatan lebih sejuta petani menanam pokok ganja untuk keperluan kira-kira 4,500 dispensari, yang mengedar produk akhir ke seluruh pelosok negara.
Malah, University of the Thai Chamber of Commerce (UTCC) menganggarkan industri itu bakal bernilai AS$1 bilion menjelang tahun 2025.
Sekarang ini, semua orang yang terlibat dalam rantaian perbekalan sedang menunggu hasil keputusan pilihan raya hujung minggu ini.
“Saya seperti hanyut dalam lautan. Mana-mana saja parti politik yang memperjuang regulasi kanabis, saya akan sokong,” ujar Olarn Youkanchanaset, 60, yang sudah berhabis lebih sejuta baht untuk membangunkan rumah hijau bagi penanaman pokok ganjanya di Buriram.
Pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutan Charnvirakul, sendiri mengakui polisi yang menyebelahi polisi kanabis telah membantu partinya dalam pilihan raya sebelum ini. Dia berhasrat untuk meneruskan polisi itu, biarpun berdepan kumpulan-kumpulan parti pembangkang yang kuat dan menentang perkara itu.
Selain kebangkitan populariti Parti Pheu Thai, tamparan juga diterima dari Parti Move Forward, yang sebelum ini menyokong liberalisasi kanabis, namun tidak bagi kempen pilihan raya kali ini.
Parti Move Forward menarik balik sokongan terhadap dasar liberalisasi itu dan mendesak penilaian semula dibuat, apabila melihat generasi muda Thailand dalam risiko akibat penggunaan kanabis secara bebas.