Kesengsaraan menanti rakyat Korea Utara yang berpaling tadah

Bernama
Mac 10, 2017 20:51 MYT
TOMOHARU: Kehidupan penuh sengsara sekiranya rakyat Korea Utara cuba lari ke negara lain untuk membebaskan diri daripada pemerintahan negara mereka. - fotoBERNAMA
Bagi rakyat Korea Utara yang cuba lari ke negara lain untuk membebaskan diri daripada cengkaman pemerintahan diktator di negara sendiri, kehidupan penuh sengsara menjadi ganjaran sekiranya usaha mereka itu menemui kegagalan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beratus-ratus rakyat negara itu menggadai nyawa dengan menyeberangi Sungai Tumen yang memisahkan Korea Utara dan China untuk memulakan kembara penuh berbahaya, dengan harapan untuk akhirnya sampai ke Korea Selatan.
"Mereka tahu, sekiranya tertangkap, mereka berdepan hukuman berat, termasuk dihumban ke 'Gulag, kem kerja berat seperti yang terdapat pada era penatdbiran Soviet," kata Tomoharu Ebihara daripada Persatuan bagi Menyelamatkan Mangsa Culik Korea Utara (ARNKA) yang berpangkalan di Thailand kepada Bernama baru-baru ini.
Dalam sesetengah kes, kata warganegara Jepun itu, hukuman mati menanti mereka yang ditangkap ketika cuba meninggalkan negara komunis tersebut secara haram.
Menurut beliau, jumlah mereka yang berpaling tadah menurun sejak Kim Jong-un mengambil alih pentadbiran negara itu daripada mendiang bapanya apabila beliau mengarahkan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang cuba melarikan diri dari negara itu.
"Beliau (pemimpin Korea Utara itu) juga memerintahkan agar pemantauan dan rondaan lebih ketat dilakukan di sempadan Korea Utara-China sebagai langkah menghalang pergerakan mereka yang berniat untuk berpaling tadah," kata Ebihara.
Menurut beliau, setelah berjaya menyeberangi Sungai Tumen, yang memisahkan Korea Utara dan Wilayah Jilin di China, mereka yang melarikan diri itu akan tinggal dan bekerja di wilayah itu atau meneruskan perjalanan ke wilayah Yunnan di selatan negara itu.
"Dari wilayah Yunnan di selatan China, ada juga pembelot yang masuk ke Laos dan meneruskan perjalanan ke Sungai Mekong, yang memisahkan Thailand dan Laos," katanya bagi menerangkan tentang laluan yang biasanya digunakan rakyat Korea Utara yang lari dari negara mereka.
Beliau berkata, bagi rakyat Korea Utara berkenaan, perjalanan mereka ke Korea Selatan boleh memakan masa setahun atau lebih jika mereka tidak ditangkap negara tuan rumah dan dihantar pulang ke negara asal, dengan kemungkinan besar hukuman mati menunggu mereka di tanah air sendiri.
Kata Ebihara, sesetengah rakyat Korea Utara yang berpaling tadah pula tidak tahu bagaimana caranya untuk pergi ke Korea Selatan dan ini mendedahkan diri mereka untuk dijadikan mangsa oleh sindiket pemerdagangan orang.
Terdapat juga laporan bahawa mereka yang melarikan diri itu diambil kesempatan oleh majikan tidak berhati perut, yang memerintahkan mereka melakukan kerja berat dan berbahaya dengan upah murah.
Beberapa pertubuhan bukan Korea Selatan, termasuk kumpulan mubaligh Kristian, katanya, meletakkan anggota mereka di sempadan Korea Utara-China untuk memberi bantuan kepada mereka yang melarikan diri itu.
Ebihara berkata jika sekalipun berjaya meninggalkan Korea Utara, mereka yang melarikan diri itu terus berdepan dengan ancaman daripada ejen Pyongyang, yang mengekori mereka, dan dalam kes yang berjaya dibongkar beberapa tahun lepas, ejen berkenaan menyamar sebagai orang yang melarikan diri juga.
"Mereka menyamar sebagai pembelot untuk memasuki Korea Selatan, tetapi helah mereka itu terbongkar apabila disoal siasat pihak berkuasa Korea Selatan.
Anggota pertubuhan bukan kerajaan dan mubaligh Kristian yang membantu pembelot itu juga berdepan dengan bahaya apabila kes "hilang" secara tiba-tiba turut berlaku, mungkin kerana diculik ejen Korea Utara, katanya.
Menurut Ebihara, sejak beberapa tahun lepas, persatuan yang dianggotainya itu memberi bantuan kepada rakyat Korea Utara yang berjaya sampai ke Thailand setelah melalui perjalanan selama beberapa bulan atau tahun dengan merentas beberapa negara.
ARNKA, katanya, bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Korea Utara yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen, sebelum mereka dihantar ke penempatan baharu di Korea Selatan.
Beliau menganggarkan 400 hingga 500 orang rakyat Korea Utara berjaya tiba di Thailand tahun lepas, berkurangan daripada jumlah pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
#culik #Imigresen #Korea Utara #mati
;