Keseluruhan penduduk Gaza berdepan kebuluran - WFP

Astro Awani
November 10, 2023 10:10 MYT
Rakyat Palestin membakar roti di jalan di Rafah. - Foto AP
GAZA: Pengarah kecemasan Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP), Kyung-Nan Park memberi amaran 100 peratus penduduk Gaza berdepan kebuluran.
Beliau mengaitkan sekatan dilakukan Israel telah menyebabkan rakyat Palestin kini hidup dalam kehancuran akibat kekurangan zat makanan.
"Sebelum 7 Oktober, 33 peratus daripada penduduk tidak dapat makanan yang mencukupi.
"Kini kami dengan yakin boleh mengatakan bahawa 100 peratus penduduk tidak cukup makan ketika ini," katanya.
Kyung-Nan turut menyatakan, kakitangan WFP di Gaza sendiri tidak cukup makan.
Lebih serius, ada yang beratur lebih 10 hari untuk mendapatkan makanan namun terpaksa pulang dengan tangan kosong.
"Sebelum ini anggota WFP bekerja dengan lebih 23 kedai roti di kawasan yang padat penduduk tetapi hanya satu yang masih berfungsi kerana kekurangan bahan api dan bekalan.
"Ada yang beratur selama 10 hari namun terpaksa pulang dengan tangan kosong, ia agak serius," katanya.
Selain pembiayaan dana, WFP juga perlu masuk ke Gaza dengan akses selamat untuk membantu mereka yang memerlukan.
Sejak pembukaan semula lintasan Rafah di sempadan Gaza dengan Mesir untuk kargo kemanusiaan pada 21 Oktober, jumlah purata harian trak yang telah menyeberang ke Gaza adalah kurang daripada 19 peratus.
Secara purata hanya 40 hingga 50 trak sahaja berjaya untuk masuk, namun WFP memerlukan 100 trak sehari untuk menyediakan makanan yang bermakna kepada penduduk di Gaza.
#WFP #Gaza #kebuluran #sekatan
;