Kesediaan Zelenskyy untuk berunding langkah positif ke hadapan - AS
Bernama
Mac 5, 2025 07:00 MYT
Mac 5, 2025 07:00 MYT
Mike Waltz menyifatkan kesediaan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy (foto), untuk berunding dengan Rusia sebagai "langkah positif ke hadapan" untuk menamatkan konflik. - Foto fail/BERNAMA
ISTANBUL: Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Waltz, pada Rabu menyifatkan kesediaan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, untuk berunding dengan Rusia sebagai "langkah positif ke hadapan" untuk menamatkan konflik.
Waltz menekankan kemajuan dalam perbincangan mengenai potensi rundingan damai, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kami sedang berbincang tentang lokasi, tarikh, dan pasukan perunding. Semalam dan hari ini adalah langkah positif ke hadapan untuk mengatakan bahawa kami akan merundingkan perdamaian ini, dan kami sudah mula berbincang mengenai langkah-langkah membina keyakinan," kata Waltz kepada Fox News.
Pegawai AS itu berkata langkah-langkah itu akan dibentangkan kepada Rusia untuk "menguji" kesediaan mereka untuk terlibat.
Kenyataan itu susulan surat daripada Zelenskyy kepada Presiden AS Donald Trump yang menyatakan kesediaan Kyiv untuk meneruskan "keamanan yang berkekalan" melalui rundingan.
"Surat itu menyatakan, Ukraine bersedia untuk duduk di meja rundingan secepat mungkin untuk menyegerakan keamanan yang berkekalan," kata Trump dalam ucapannya di Kongres pada malam Selasa.
Pada Selasa, Zelenskyy menyatakan penyesalan mengenai pertemuan yang kontroversi minggu lalu di White House, mengatakan bahawa pertemuan tersebut tidak berjalan seperti yang dirancang.
"Pertemuan kami di Washington, di White House pada Jumaat, tidak berjalan seperti yang sepatutnya. Malangnya, ia berlaku demikian. Sudah tiba masanya untuk membetulkan keadaan," tulisnya di X.
-- BERNAMA