Kesatuan, kunci utama ASEAN menjadi tonggak pertumbuhan global - Jokowi
Ridauddin Daud
Mei 10, 2023 09:40 MYT
Mei 10, 2023 09:40 MYT
LABUAN BAJO: Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dibuka secara rasminya di Indonesia hari ini dengan majlis pembukaan disempurnakan Presiden Joko Widodo.
Persidangan selama dua hari di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur itu dihadiri pemimpin tertinggi ASEAN, kecuali dari Thailand dan Myanmar, yang tidak menyertainya.
Jokowi dalam ucapan pembukaan persidangan pagi ini menegaskan, ASEAN tidak boleh hanya menjadi penonton kepada permasalahan global berkaitan ekonomi, yang dilihat masih belum pulih, dan dinamika dunia yang tidak terjangka.
Tegasnya, beliau optimis, dengan potensi yang dimiliki rantau itu, ASEAN mampu menjadi tonggak kepada perdamaian dan pertumbuhan untuk peringkat global.
Kuncinya, menurut Jokowi, adalah kesatuan antara semua negara ASEAN.
“Dengan persatuan, Asean akan mampu menjadi pemain sentral dalam membawa perdamaian dan pertumbuhan.
“Kita punyai aset kuat, sebagai epicentrum of growth (pasak kepada pertumbuhan), ekonomi yang tumbuh jauh di atas serata dunia, bonus demografi dan kestabilan kawasan yang terjaga.
“Sehingga ke depan, ASEAN harus semakin memperkuat integrasi ekonominya, mempererat kerjasama inklusif termasuk implementasi ARSET (arsitektur kesihatan) dan memperkukuhkan arsitektur kesihatan, pangan (sekuriti makanan), tenaga dan stabilitas (kestabilan) kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan persidangan itu yang turut dihadiri Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin ASEAN lain dalam majlis yang dijadualkan berlangsung selama satu jam itu.
Selesai berucap, Jokowi terus merasmikan persidangan sebelum majlis diteruskan dengan ucapan Perdana Menteri Timor Leste Taur Matan Ruak sebagai pemimpin pertama berucap.
Sesi plenari yang diadakan selepas itu bagaimanapun diadakan secara tertutup namun difahamkan intipatinya akan dikongsikan kepada media selepas semuanya selesai.