'Kesan sampingan' COVID-19, langit di bandar raya di China kembali membiru

Agensi
Mac 7, 2020 13:17 MYT
Langit di Guangzhou sebelum ini sering saja berjerebu akibat aktiviti industri. - Unsplash
Tidak lagi berdebu, berjerebu dan kusam. Langit di beberapa bandar raya China seperti Shenzhen, Guangzhou dan Shanghai yang sejak beberapa tahun dahulu sering saja dilanda pencemaran udara, kini kembali bersih dan membiru.
Mungkin itu satu-satunya ‘kesan baik’ yang cuba disampaikan secara ironi dengan kehadiran wabak koronavirus COVID-19 - setidak-tidaknya itu yang disaksikan sendiri oleh penduduk tempatan.
Penutupan sementara dan pemulihan yang sangat perlahan dalam aktiviti perindustrian China semenjak penularan COVID-19 menyaksikan penurunan ketara penggunaan bahan api arang batu oleh syarikat-syarikat tenaga, lapor South China Morning Post.
Itu sekali gus menyumbang kepada kembalinya langit biru di bandar raya-bandar raya yang selama ini berdepan pencemaran udara.
Ramai percaya, perintah penutupan bandar raya sebagai cara mengekang penularan koronavirus mempunyai pengaruh besar dalam perubahan berkenaan.
Sistem pengangkutan juga sudah dibataskan operasinya, dengan banyak perkhidmatan kereta api dan penerbangan dihentikan sementara, serta ditambah pula dengan kenderaan persendirian yang tidak lagi memenuhi jalan raya seperti selalu.
Selain itu, syarikat tenaga China yang selama ini bergantung harap pada 60 peratus bahan api arang batu, juga menunjukkan pengurangan ketara.
Sebagai contoh, enam syarikat tenaga elektrik utama China yang selama ini membakar ratusan ribu tan arang batu sehari sudah tidak lagi berbuat demikian, sekurang-kurangnya untuk satu tempoh yang diperintahkan.
Satu kajian mendapati, pelepasan karbon sudah berkurangan sebanyak 100,000 juta tan dalam masa dua minggu.
Imej satelit NASA juga menunjukkan perbezaan jelas di ruang atmosfera, apabila kesan nitrogen dioksida yang berpunca daripada pembakaran bahan api fosil, berkurangan dengan banyak sepanjang tempoh Januari hingga Februari.
Data kerajaan menunjukkan, di banyak bandar raya di negara itu, bacaan purata kepadatan partikel halus dalam udara sudah menurun hingga ke paras paling rendah sejak tahun 2014.

Satellite images released by NASA and the European Space Agency reveal that air pollution over China has gone down since the coronavirus outbreak https://t.co/p2ODAUSmIV

— CNN (@CNN) March 1, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#aktiviti industri #bandar raya china #China #COVID-19 #kesan positif #koronavirus #langit biru #pencemaran udara
;