Kesan parut bukti kekejaman

Sinar Harian
Julai 7, 2018 12:50 MYT
Seorang wanita Rohingya menunjukkan kesan parut yang dilakukan tentera Myanmar. - Foto Sinar Harian
Pakar perubatan untuk Hak Asasi Manusia (PHR) mengesahkan laporan kekejaman dilakukan ke atas pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kempen pembersihan etnik di Myanmar.
Menurut PHR yang berpusat di Amerika Syarikat, kesemua dakwaan seperti ditembak, diserang dan cedera akibat bahan letupan itu disokong oleh bukti.
"Seluruh pemeriksaan forensik dan rekod perubatan sangat konsisten dengan apa yang mangsa ceritakan," jelas laporan itu yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Difahamkan, laporan itu memfokuskan pelarian Rohingya dari perkampungan Chut Pyin di mana tentera didakwa melakukan kekejaman termasuk merogol dan membakar rumah penduduk kampung.
"22 daripada 25 penduduk Rohingya yang diperiksa PHR mempunyai kesan kecederaan fizikal. Ia menjadi contoh kempen keganasan yang dilakukan pihak berkuasa Myanmar ke atas penduduk Rohingya dan sepatutnya disiasat sebagai jenayah kemanusiaan," menurut kandungan laporan itu lagi.
Gelombang keganasan baharu itu memaksa kira-kira 700,000 penduduk Rohingya meninggalkan kampung halaman mereka dan berlindung di Bangladesh.
Minggu lalu, pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International mengeluarkan dokumen komprehensif setebal 109 muka surat yang mendakwa ia mempunyai bukti tentang kekejaman dirancang dan serangan secara sistematik yang dilakukan terhadap etnik minoriti tersebut.
Susulan itu, ia menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) merujuk komander tertinggi ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan mengenakan embargo senjata ke atas Myanmar serta sekatan kewangan terhadap pegawai kanan mereka.
#Bangladesh #Chut Pyin #hak asasi manusia #kekejaman #laporan #Myanmar #pakar perubatan #pelarian #pembersihan etnik #Rohingya
;