Kesaksamaan dalam perkongsian penting dalam hubungan EU-ASEAN - Jokowi
Bernama
Disember 15, 2022 16:00 MYT
Disember 15, 2022 16:00 MYT
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo berkata Kesatuan Eropah (EU) perlu melayan negara anggota ASEAN secara sama rata jika mereka mahu menikmati sepenuhnya hasil perkongsian yang lebih baik.
Beliau mengakui kedua-dua blok itu telah melalui banyak cabaran dan mencapai banyak keputusan yang baik, namun perkongsian itu tidak berjalan lancar.
"Perkongsian itu harus berdasarkan kesaksamaan. Tidak sepatutnya ada pemaksaan pandangan, tidak yang memberi arahan kepada pihak selain tidak menganggap standard mereka lebih baik daripada yang lain," kata beliau.
Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, berkata demikian pada Rabu di majlis perasmian Sidang Kemuncak Peringatan EU-ASEAN, di Brussels, sempena 45 tahun hubungan diplomatik,.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, Asia Tenggara telah menjadi kuasa ekonomi dan pusat pertumbuhan, kata Jokowi, sambil menambah perkongsian EU dan ASEAN banyak memberi manfaat.
Beliau berkata kaji selidik sentimen perniagaan Majlis Perniagaan EU-ASEAN pada September menunjukkan 63 peratus responden melihat ASEAN sebagai rantau yang mempunyai peluang ekonomi terbaik.
Kira-kira 69 peratus responden menjangkakan pasaran ASEAN akan menjadi lebih penting dari segi pendapatan seluruh dunia dalam tempoh dua tahun akan datang dan 97 peratus responden mahu EU mempercepat rundingan FTA dengan ASEAN dan anggotanya.
Untuk itu, Jokowi berkata perkongsian EU-ASEAN mesti ditingkatkan dan mencapai kemajuan sama rata untuk membentuk masa depan bersama yang lebih baik.
"Daripada pandemik dan krisis pelbagai dimensi yang dilalui, kami telah belajar satu pengajaran penting bahawa berkembang dan makmur bersama adalah satu-satunya pilihan."
Jokowi mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada Perdana Menteri Kemboja Hun Sen bulan lepas di Phnom Penh dan mempengerusikan blok itu sepanjang 2023 dengan tema "ASEAN Matters: : Epicentrum of Growth".
-- BERNAMA