'Kesakitan yang tidak tertanggung' dalam konflik Asia Barat - Palang Merah
Bernama
Oktober 6, 2024 06:00 MYT
Oktober 6, 2024 06:00 MYT
GENEVA: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Ahad menyatakan bahawa terdapat "beban kesakitan yang tidak tertanggung" hampir setahun selepas konflik di Gaza, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Rakyat di rantau ini terus menanggung beban kesakitan, penderitaan, dan kehilangan yang tidak tertanggung, yang melangkaui sempadan... penderitaan manusia tiada sempadan," kata agensi bantuan antarabangsa itu di Geneva.
"Tahun ini ditandai dengan kekecewaan dan persoalan yang tidak terjawab. Puluhan ribu orang telah terbunuh dan jutaan lagi telah kehilangan tempat tinggal di seluruh rantau ini," katanya.
ICRC sekali lagi menyeru semua pihak yang terlibat untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Maruah manusia mesti dihormati.
Di bawah Konvensyen Geneva, agensi itu bertanggungjawab untuk mencegah dan mengurangkan penderitaan semasa konflik bersenjata, dengan perlindungan orang awam sebagai keutamaannya.
-- BERNAMA