Kes tikam: Pemimpin pembangkang Korea Selatan semakin pulih
Bernama
Januari 4, 2024 19:10 MYT
Januari 4, 2024 19:10 MYT
SEOUL: Ketua pembangkang Korea Selatan Lee Jae Myung yang ditikam di leher awal minggu ini, semakin pulih selepas menjalani pembedahan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pada sidang akhbar pada Khamis, pakar bedah Profesor Min Seung Kee dari unit pembedahan vaskular Seoul National University Hospital berkata Lee semakin pulih tetapi memerlukan pemerhatian berterusan bagi mengelak jangkitan dan komplikasi.
Lee yang mengalami luka sepanjang kira-kira 1.4 sentimeter bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kerosakan pada arteri, saraf serebrum di sekeliling atau saluran pernafasan.
Beliau yang juga pengerusi parti pembangkang utama Democratic Party (DP) diserang dengan pisau oleh seorang lelaki berusia 67 tahun yang dikenali sebagai Kim.
Suspek mendekati Lee dengan alasan untuk mendapatkan autograf pada satu acara awam di bandar tenggara Busan pada Selasa
Terdahulu, polis Korea Selatan berkata Kim mengaku berniat untuk membunuh Lee dan dia telah merancang serangan itu seorang diri, namun motifnya belum diketahui.
Sebuah daerah di Busan yang mendengar kes itu untuk memutuskan sama ada Kim ditahan atas cubaan membunuh akan membuat keputusan pada lewat Khamis atau awal Jumaat.
Kim yang ditanya pemberita mengenai motif tindakannya berkata dia telah menyerahkan nota setebal lapan muka surat menjelaskan alasannya kepada polis.
-- BERNAMA