Kes rogol: Trump kena saman kali kedua
Sinar Harian
November 25, 2022 05:00 MYT
November 25, 2022 05:00 MYT
NEW YORK: Penulis, E Jean Carroll memfailkan saman kedua ke atas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang didakwa memperkosanya pada 1990-an.
Carroll, 78, adalah antara orang pertama yang mengemukakan tuntutan undang-undang di bawah Akta Orang Dewasa Terselamat yang dikhususkan untuk individu berusia 18 tahun ke atas yang berkuat kuasa pada Khamis.
Wanita itu mendakwa kejadian tersebut berlaku di sebuah bilik persalinan gedung beli-belah mewah, Bergdorf Goodman di New York, kira-kira 27 tahun lalu.
Sebelum ini, bekas kolumnis majalah Elle tersebut pernah mengemukakan saman fitnah terhadap Trump selepas bilionair hartanah itu mendakwanya berbohong ketika dia mendedahkan kes tersebut pada tahun 2019.
Pada masa itu, Trump menafikan tuduhan rogol tersebut malah beliau menjelaskan tidak mengenali Carroll dan wanita itu bukan 'jenis yang diminatinya'.
Menerusi saman terbaharu tersebut, Carroll menuntut ganti rugi punitif yang tidak ditentukan untuk impak psikologi, penderitaan dan kesan kepada reputasinya.
Difahamkan, perbicaraan sivil untuk kes berkenaan dijadualkan pada 6 Februari depan. - Sinar Harian memetik agensi