Kes rasuah terbesar Hong Kong mula dibicarakan hari ini
Astro Awani
Mei 8, 2014 11:23 MYT
Mei 8, 2014 11:23 MYT
Dua jutawan adik-beradik di Hong Kong, Thomas dan Raymond Kwok mula dibicarakan hari ini atas tuduhan memberi rasuah kepada pegawai kedua tertinggi di negara itu.
Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Rafael Hui, ketua setiausaha kerajaan pada Jun 2005 hingga Jun 2007 dituduh menerima bayaran dan pinjaman lebih RM13 juta. Pertuduhan tersebut turut mengaitkan penglibatannya sebagai pengerusi tabung saran Hong Kong dan menteri cabinet sejak Julai 2007.
Kes itu telah mencetuskan penelitian hubungan antara jutawan dan pegawai kerajaan Hong Kong sewaktu kerajaan cuba untuk menangani rasa tidak puas hati akibat rekod jurang kekayaan.
Dua beradik itu yang juga pengerusi bersama Sun Hung Kai Properties Ltd memiliki harta berjumlah RM48 bilion berdasarkan Indeks Jutawan Bloomberg, antara 30 personaliti terkaya di Asia.
“Pendakwaan terhadap pegawai kedua paling kanan dalam kerajaan dan dua daripada orang paling kaya di Hong Kong belum pernah berlaku sebelum ini di sini,” kata Tony Kwok, timbalan ketua Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) dan tidak mempunyai kaitan dengan tertuduh. "Di negara-negara lain, kes seperti itu kemungkinan besar akan menerima campur tangan dan tekanan politik yang kuat."
Hong Kong kembali kepada pemerintahan China pada tahun 1997, mempunyai kerajaan dan sistem undang-undang yang berasingan dari tanah besar. ICAC ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British bagi membasmi rasuah yang telah berleluasa di negara itu sejak tahun 1970-an.