Kes positif COVID-19 Singapura meningkat ke 130, 82 pulih

Bernama
Mac 6, 2020 23:33 MYT
Setakat tengah hari, MOH mengenal pasti 3,366 kontak rapat yang dikuarantin. - Gambar fail/REUTERS
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini melaporkan 13 lagi kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah kes positif di republik itu kepada 130.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, MOH berkata sembilan kes baharu itu adalah sebahagian daripada kluster baharu melibatkan satu majlis makan malam persendirian di SAFRA Jurong, 333, Boon Lay Way, 15 Feb lepas.
Secara keseluruhan, kementerian itu berkata 17 daripada kes yang disahkan berkait dengan kluster itu.
Menurut MOH, dua kes lagi berkemungkinan dari luar negara.
Seorang daripada mereka melibatkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 47 tahun yang berada di Afrika Selatan dari 14 hingga 17 Feb dan Perancis dari 22 hingga 24 Feb.
Satu lagi kes yang kemungkinan merupakan kes dari luar melibatkan seorang wanita pemastautin tetap Singapura berusia 37 tahun yang melawat Jerman dari 27 Feb hingga 5 Mac.
Sementara itu, MOH berkata seorang daripada dua kes berada dalam wad sama dengan Kes 109 di Hospital Besar Singapura dari 29 Feb hingga 1 Mac, sebelum dia disahkan dijangkiti COVID-19.
Untuk kes baharu lain, MOH berkata ia tidak berkait dengan sebarang kes dan merupakan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 55 tahun yang bekerja dengan syarikat telekomunikasi, SingTel.
Seorang lelaki, kru kabin Singapore Airlines, tidak pergi bekerja sejak mula mengalami simptom pada 27 Feb lepas, kata MOH.
Mengenai perkembangan terkini kes yang disahkan, MOH berkata satu lagi kes jangkitan COVID-19 didiscaj daripada hospital hari ini, menjadikan jumlah mereka yang pulih sepenuhnya ialah 82.
Daripada 48 kes yang disahkan dan masih berada di hospital, kebanyakan mereka berada dalam keadaan stabil sementara sembilan dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi, katanya.
Setakat tengah hari, MOH mengenal pasti 3,366 kontak rapat yang dikuarantin.
-- BERNAMA
#coronavirus #COVID-19 #Kementerian Kesihatan SIngapura #koronavirus #MOH #SAFRA Jurong #Singapore Airlines #Singapura
;