Kes positif COVID-19 di Amerika Latin cecah 3.8 juta kes

Agensi
Julai 20, 2020 19:12 MYT
Sao Paulo mencatatkan wilayah kes tertinggi dengan lebih 19,000 kematian dan lebih 415,000 kes. Foto: AP
Jumlah kes positif COVID-19 di Amerika Latin kini mencecah 3.8 juta dengan Brazil mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2.09 juta kes.
Manakala kes kematian di Brazil mencecah 80,000 kes selepas 716 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, jumlah kes positif di negara itu mencatatkan pertambahan 23,529 kes dalam tempoh sama.
Sao Paulo mencatatkan wilayah kes tertinggi dengan lebih 19,000 kematian dan lebih 415,000 kes diikuti Rio de Janeiro dengan 12,114 kematian dan 138,524 kes.
Di Argentina pula, 126,755 disahkan positif COVID-19 dengan 2,260 kematian setakat Ahad.
Kementerian Kesihatan negara itu pada Ahad memaklumkan, Buenos Aires dan beberapa wilayah lain akan memulakan fasa pertama kelonggaran perintah berkurung bermula Isnin.
Sementara di Colombia, susulan peningkatan kes di negara itu, kerajaannya membuat keputusan untuk membatalkan sambutan hari kemerdekaan dan menyambutnya secara dalam talian.
Setakat Ahad, 182,140 kes positif COVID-19 dilaporkan di negara itu dengan lebih 6,000 kematian.
#Amerika Latin #Argentina #Brazil #Buenos Aires #Colombia #COVID-19 #kes positif
;