Kes pertama varian mpox baharu disahkan di Jerman
Bernama
Oktober 22, 2024 21:55 MYT
Oktober 22, 2024 21:55 MYT
BERLIN: Varian baharu clade Ib virus mpox telah dikesan buat kali pertama di Jerman, menurut pihak berkuasa kesihatan awam terkemuka negara itu, Institut Robert Koch (RKI), pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kes pertama varian clade Ib mpox di luar benua Afrika telah disahkan di Sweden pada pertengahan Ogos.
"RKI tidak menganggap risiko yang lebih tinggi daripada virus clade I di Jerman pada masa ini, tetapi memantau keadaan dengan teliti dan akan menyesuaikan cadangannya jika perlu," menurut institut itu di laman sesawangnya.
Gejala mpox termasuk ruam biasa serta gejala umum seperti demam, sakit kepala dan sakit otot. Kes kematian adalah jarang, terutama di negara yang mempunyai piawaian rawatan yang baik.
Clade Ib dianggap lebih teruk berbanding clade IIb, dan terdapat kecurigaan ia mungkin lebih mudah berjangkit. Bagaimanapun, pakar kesihatan awam memberi amaran, data yang boleh dipercayai mengenai varian ini masih tidak mencukupi buat masa ini.
Jangkitan daripada varian lain virus mpox, clade IIb, telah dikesan di banyak negara termasuk Jerman sejak Mei 2022.
Menurut RKI, tiada kematian akibat mpox direkodkan di Jerman.
-- BERNAMA