Kes pembunuhan Tak Bai: Mahkamah Tinggi Narathiwat keluar waran tangkap kepada enam individu

Hasimi Muhamad
September 12, 2024 19:33 MYT
Waran tangkap tersebut dibuat susulan kegagalan keenam-enam tertuduh menghadiri perbicaraan yang dijadual hari ini bagi memeriksa bukti dan menetapkan jadual pendengaran saksi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Narathiwat mengeluarkan waran tangkap terhadap enam individu termasuk empat bekas pegawai kanan polis yang didakwa terlibat dalam insiden Tak Bai.
Badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Rentas Budaya (CrCF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan waran tangkap tersebut dibuat susulan kegagalan keenam-enam tertuduh menghadiri perbicaraan yang dijadual hari ini bagi memeriksa bukti dan menetapkan jadual pendengaran saksi.
Kenyataan itu menambah, mahkamah turut mengemukakan permohonan segera kepada Dewan Rakyat untuk mendapatkan kebenaran memanggil tertuduh pertama iaitu seorang ahli Parlimen Pheu Thai, yang juga bekas Pengarah Komander Kawasan Tentera Ke-4 ketika kejadian berlaku, untuk hadir perbicaraan pada 15 Oktober depan.
"Kes ini, yang didaftarkan sebagai Kes Jenayah No. A.578/2024, dibawa oleh 48 plaintif keluarga mangsa yang terkorban dan yang cedera semasa insiden Tak Bai terhadap sembilan pegawai negeri yang terlibat dalam pembubaran tunjuk perasaan di hadapan Balai Polis Tak Bai pada 25 Oktober 2004, yang mengakibatkan banyak kecederaan dan kematian.
"Walaupun telah diberitahu lebih awal, tiada seorang pun daripada tujuh defendan yang hadir di mahkamah. Pendakwa raya yang mewakili defendan lapan (bekas Timbalan Pengarah Bahagian Pembinaan Keamanan Wilayah Selatan) dan sembilan iaitu bekas Timbalan Pengarah Bahagian Pembinaan Keamanan Wilayah Selatan ketika kejadian, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak dapat menghubungi kedua-dua tertuduh.
"Peguam yang mewakili defendan lain juga melaporkan tiada komunikasi dengan anak guam mereka selepas perintah terakhir mahkamah.
"Mahkamah menentukan bahawa para defendan telah diberitahu dengan betul mengenai pendengaran tersebut dan tidak memberikan alasan atas ketidakhadiran mereka mahupun memohon kebenaran untuk menangguhkan kes," kata CrCF dalam kenyataan itu.
Sehubugan itu, CrCF menambah dengan merujuk kepada kebimbangan mengenai kemungkinan melarikan diri, mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada keenam-enam tertuduh terbabit bagi memastikan mereka hadir sebelum tempoh had masa 20 tahun tamat pada 25 Oktober 2024.
Mahkamah menetapkan prosiding seterusnya pada jam 9 pagi, 15 Oktober depan untuk mengikuti perkembangan tangkapan enam defendan terbabit dan keputusan permohonan kepada Dewan Rakyat.
Mereka adalah bekas Komander Divisyen Infantri Ke-5; bekas Pengarah Pusat Komando, Pos Hadapan Polis Diraja Thailand; bekas Pesuruhjaya Polis Wilayah; dan bekas Ketua Polis Balai Tak Bai ketika kejadian.
Ketujuh-tujuh mereka menghadapi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan untuk bersama-sama melakukan kesalahan termasuk pembunuhan, cubaan membunuh, dan penahanan yang tidak sah mengikut Seksyen 288 dan 83; Seksyen 288, 80, 83, serta Seksyen 310 perenggan dua berserta Seksyen 290, 83 Kanun Keseksaan Thailand.
Dalam kejadian pada 25 Oktober 2004, seramai tujuh penunjuk perasaan terbunuh di lokasi kejadian, manakala 78 yang lain meninggal dunia akibat lemas atau kegagalan organ semasa mereka dibawa ke sebuah kem tentera di daerah Nong Chik, wilayah Pattani.
#Kes Tak Bai #Pheu Tai #Yayasan Rentas Budaya #Mahkamah Tinggi Narathiwat
;